fb fb fb fb fb

Biden muncul di 'TikTok'?

Joe Biden/AFP

WASHINGTON, 13 Februari- Kemunculan sulung Presiden Amerika Syarikat Joe Biden di TikTok telah menimbulkan kekecohan berikutan platform media sosial milik China itu dianggap sebagai risiko keselamatan oleh Washington.

Video yang disiarkan semasa Super Bowl pada Ahad adalah sebahagian daripada usaha kempen pemilihan semula lelaki berusia 81 tahun itu untuk mendekati pengundi muda.

Tetapi parti Republikan telah mengkritik Biden kerana menggunakan aplikasi yang diharamkan pada peranti oleh kerajaan AS.

"Masih terdapat kebimbangan keselamatan negara mengenai penggunaan TikTok pada peranti kerajaan dan tidak ada perubahan kepada dasar itu," kata Jurucakap Majlis Keselamatan Negara John Kirby kepada pemberita selepas ditanya berkenaan isu itu.

White House berkata, peraturan pilihan raya melarangnya daripada mengulas secara rasmi mengenai hal kempen, tetapi secara lebih meluas menyatakan bahawa ia menyedari kebimbangan bahawa platform seperti TikTok boleh menyebarkan maklumat yang salah.

"Ini adalah kebimbangan kami," kata Setiausaha Akhbar White House Karine Jean-Pierre.

TikTok dimiliki oleh firma China ByteDance telah dituduh oleh sebilangan besar ahli politik AS sebagai alat propaganda yang digunakan oleh Beijing namun perkara itu dinafikan syarikat tersebut.

Kebimbangan itu "tidak menghalang kempen Biden daripada menyertai aplikasi propaganda berbahaya PKC," kata Senator Republikan Joni Ernst di aplikasi X.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI