SYDNEY, 27 April- Perdana Menteri Australia Anthony Albanese menyifatkan keganasan terhadap wanita seakan "wabak" yang menular di negara itu.
Ia sekali gus mencetuskan perhimpunan di Sydney dan bandar-bandar utama Australia yang lain menggesa undang-undang yang lebih keras mengenai keganasan ke atas wanita.
Perhimpunan itu disebabkan gelombang keganasan terhadap wanita yang dikatakan seorang wanita dibunuh setiap empat hari. Perhimpunan itu juga disusuli kejadian tikam beramai-ramai di Sydney yang mengorbankan enam individu, termasuk lima wanita.
Penunjuk perasaan menuntut undang-undang jenayah yang lebih tegas terhadap perkara itu menerusi perhimpunan yang diadakan di Sydney.
Di Adelaide, dianggarkan kira-kira 3,000 orang berhimpun di bangunan parlimen bandar itu.
Albanese berkata beliau akan menjadi sebahagian daripada perhimpunan di Canberra pada Ahad.
"Saya akan berjalan dengan wanita di seluruh Australia untuk mengatakan sudah cukup," kata Albanese menerusi satu hantaran di X.
"Keganasan terhadap wanita adalah wabak. Kita mesti melakukan yang terbaik."
Protes serupa dijangka akan diadakan sepanjang hujung minggu di Perth, Australia Barat; Melbourne, Victoria; Hobart, Tasmania; dan Brisbane, Queensland.
Keganasan terhadap wanita merupakan isu berterusan di negara yang memiliki penduduk seramai 26 juta itu. Pada 2021, berpuluh-puluh ribu penduduk berhimpun berhubung dakwaan penderaan seksual dan salah laku di beberapa pejabat politik tertinggi Australia.- REUTERS