fb fb fb fb fb

Banjir Texas, tiga masih hilang angka kematian cecah 135

Keadaan banjir di Camp Mystic/ REUTERS

WASHINGTON, 21 Julai – Pihak berkuasa di Texas mengesahkan hanya tiga individu masih dilaporkan hilang susulan bencana banjir besar yang melanda negeri itu awal bulan ini.

Banjir kilat berlaku akibat hujan lebat pada 4 Julai lalu telah meragut sekurang-kurangnya 135 nyawa di kawasan tengah Texas, termasuk lebih 30 kanak-kanak.

Pasukan mencari dan menyelamat terus menyusuri tebing Sungai Guadalupe di Kerr County – kawasan yang paling teruk terjejas – dalam usaha mengesan penduduk terjejas banjir.

Pusat Maklumat Bersama Bencana Banjir Kerr County dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil siasatan lanjut menunjukkan majoriti individu yang pada awalnya dilaporkan hilang telah dikenal pasti selamat.

"Ketika ini, hanya tiga individu masih hilang dalam bencana banjir yang berlaku pada 4 Julai," menurut kenyataan itu.

Pengurus Bandar Kerrville, Dalton Rice berkata, lebih 1,000 anggota dari agensi tempatan, negeri dan persekutuan bertungkus-lumus menjalankan operasi pemulihan dan mencari mangsa.

"Hasil usaha luar biasa ini telah mengurangkan jumlah individu yang dilaporkan hilang daripada lebih 160 kepada hanya tiga," ujarnya.

Beberapa kematian turut dilaporkan di daerah lain, termasuk mayat seorang ketua bomba yang masih hilang di Burnet County.

Banjir tersebut mengakibatkan kemusnahan besar termasuk Camp Mystic, yang mencatatkan 27 kematian membabitkan pelatih dan kaunselor wanita.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersama isterinya, Melania, telah melawat kawasan bencana pada 11 Julai lalu.

Beliau mengarahkan tindakan awal serta perancangan berkaitan dalam usaha membantu penduduk terjejas banjir dan menyerahkan pengurusan kecemasan persekutuan kepada pihak negeri. – AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI