fb fb fb fb fb

Asteroid ‘pembunuh bandar’ berisiko hentam bumi dalam sembilan tahun– NASA

Foto Reuters

WASHINGTON, 19 Februari – Sebuah asteroid yang berpotensi memusnahkan sebuah bandar kini mempunyai kebarangkalian 3.1 peratus untuk melanggar bumi pada tahun 2032, menurut data terbaharu yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) pada Selasa.

Ia menjadikannya batuan angkasa paling berbahaya yang pernah direkodkan oleh ramalan moden.

Walaupun kebarangkalian semakin meningkat, pakar menegaskan tiada keperluan untuk panik kerana komuniti astronomi global sedang memantau situasi ini dengan teliti.

Teleskop Angkasa James Webb dijadualkan meneliti asteroid yang dikenali sebagai 2024 YR4 pada bulan hadapan.

Asteroid 2024 YR4 pertama kali dikesan pada 27 Disember 2023 oleh Balai Cerap El Sauce di Chile.

Ahli astronomi menganggarkan saiznya antara 40 hingga 90 meter, berdasarkan tahap kecerahannya.

Analisis awal mendapati ia mempunyai komposisi biasa, bukan asteroid yang kaya dengan logam.

Rangkaian Amaran Asteroid Antarabangsa (IAWN) telah mengeluarkan memo amaran pada 29 Januari selepas kebarangkalian impak melebihi 1 peratus. Sejak itu, angka tersebut terus berubah dan menunjukkan trend peningkatan.

Berdasarkan pengiraan terbaharu NASA, tarikh impak berpotensi adalah pada 22 Disember 2032, dengan kebarangkalian 3.1 peratus atau 1 dalam 32 – setanding dengan meneka lima lambungan syiling berturut-turut dengan betul.

Pada tahun 2004, asteroid Apophis pernah diramalkan mempunyai 2.7 peratus peluang menghentam bumi pada 2029, sebelum kemungkinan itu disangkal oleh pemerhatian lanjut.

Ketua Pejabat Pertahanan Planet Agensi Angkasa Eropah (ESA), Richard Moissl, menyifatkan situasi itu sebagai "jarang berlaku" namun menegaskan ia bukanlah ancaman global seperti asteroid yang memusnahkan dinosaur.

“Ini adalah peristiwa bersejarah kerana kebarangkalian impaknya melebihi rekod Apophis,” katanya.

Namun, beliau menjelaskan hal itu bukan krisis buat masa ini, sebaliknya lebih berisiko kepada sebuah bandar sahaja.

Bagi memastikan pemantauan lebih tepat, Teleskop Angkasa James Webb akan menjalankan pemerhatian khas terhadap 2024 YR4 pada bulan Mac.

Teknologi Webb mampu mengesan objek yang sangat malap, penting untuk menentukan laluan asteroid itu dengan lebih jelas.

Sekiranya risiko meningkat melebihi 10 peratus, IAWN akan mengeluarkan amaran rasmi, membolehkan semua negara anggota PBB mengambil langkah kesiapsiagaan, terutamanya di kawasan yang berpotensi terjejas.

Sekiranya 2024 YR4 memasuki atmosfera bumi, ia dijangka meletup di udara (airburst) dengan kuasa setanding lapan megatan TNT, iaitu lebih daripada 500 kali kekuatan bom Hiroshima.

Namun, sekiranya asteroid berada pada saiz lebih besar, kemungkinan ia membentuk kawah impak tidak boleh ditolak.

Koridor impak berpotensi meliputi Lautan Pasifik Timur, utara Amerika Selatan, Lautan Atlantik, Afrika, Semenanjung Arab, dan Asia Selatan.

Bagaimanapun, pakar menegaskan bahawa masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan drastik seperti berpindah.

Walaupun risiko semakin meningkat, NASA memberi jaminan bahawa masih ada masa untuk bertindak sekiranya ancaman semakin serius.

Misi DART NASA pada 2022 telah membuktikan bahawa kapal angkasa berjaya mengubah laluan asteroid, dan para saintis telah mencadangkan kaedah lain seperti menggunakan laser untuk menghasilkan daya tolakan, menariknya dengan daya graviti kapal angkasa, atau sebagai pilihan terakhir, menggunakan letupan nuklear.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN