fb fb fb fb fb

AS kejar kapal tangki Venezuela, elak sekatan

FOTO AFP

WASHINGTON, 22 Disember - Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) pada Ahad dilaporkan mengejar sebuah lagi kapal tangki Venezuela yang dikenakan sekatan, ketika Washington meningkatkan tekanan terhadap sektor minyak penting negara itu.

Menurut seorang pegawai AS, kapal tangki Bella 1 disyaki cuba mengelak sekatan secara haram, berlayar menggunakan bendera palsu dan tertakluk kepada perintah penyitaan mahkamah.

Kejadian berlaku selepas Pengawal Pantai AS menahan kapal kedua berhampiran Venezuela dalam tempoh dua minggu.

Kapal itu dalam perjalanan ke Venezuela tetapi tidak membawa muatan, manakala kapal kedua, Centuries, yang dimiliki pihak China dan berdaftar bendera Panama, sebelum ini ditahan membawa 1.8 juta tong minyak mentah dari pelabuhan Venezuela awal bulan ini.

Pentadbiran Presiden AS, Donald Trump mendakwa Venezuela menggunakan minyak, sumber utama negara itu, untuk membiayai “narkoterorisme”.

Trump pada 16 Disember mengumumkan sekatan ke atas kapal minyak yang dikenakan sekatan berlayar ke dan dari Venezuela, menuntut pemulangan aset AS yang didakwa dicuri di negara Amerika Selatan itu.

Trump juga menempatkan armada tentera laut besar di Caribbean dengan misi diumumkan untuk memerangi penyeludupan dadah, tetapi Caracas menuduh ia sebagai kempen tekanan untuk menyingkirkan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.

Caracas menafikan sebarang penglibatan dalam penyeludupan dadah dan menegaskan Washington bertujuan menumbangkan Maduro bagi menguasai rizab minyak Venezuela.

Sejak September, tentera AS turut melancarkan beberapa serangan udara ke atas kapal penyeludup dadah di Caribbean dan Lautan Pasifik Timur. -AFP

ARTIKEL BERKAITAN: 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM