CARACAS, 17 Disember – Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, menuduh Amerika Syarikat (AS) cuba merampas kekayaan sumber semula jadi negaranya. Sehubungan itu, pekerja industri minyak digesa menganjurkan protes antarabangsa yang berterusan untuk mempertahankan perdagangan bebas bagi minyak Venezuela.
Beliau juga menolak tuduhan AS mengenai penyeludupan dadah dan menyifatkanya sebagai berita palsu.
"AS mahu menjajah Venezuela untuk menguasai kekayaan minyak, gas, emas dan mineral lain. Kami berikrar untuk mempertahankan tanah air sepenuhnya, dan di Venezuela, keamanan akan menang," kata Maduro.
Ketika berucap pada satu acara awam di Caracas, beliau turut menyeru pekerja industri minyak dan perkapalan antarabangsa untuk mengadakan protes global secara meluas terhadap Kerajaan AS yang cuba mengawal perdagangan bebas.
Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump, mengarahkan sekatan penuh, terhadap kapal tangki minyak yang telah disenaraihitamkan ketika keluar dan masuk Venezuela.
Menerusi satu kenyataan di platform Truth Social, Trump mendakwa tindakan itu diambil atas dakwaan kecurian aset serta penglibatan rejim Venezuela dalam kegiatan keganasan, penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia.
Langkah Trump itu berlaku seminggu selepas AS merampas kapal tangki minyak berhampiran pesisir pantai Venezuela, sebagai sebahagian daripada kempen tekanan terhadap kerajaan Maduro.
Kempen Trump turut melibatkan kehadiran ketenteraan yang meningkat di rantau itu serta lebih dua dozen serangan ketenteraan terhadap kapal-kapal di Lautan Pasifik dan Laut Caribbean berhampiran Venezuela.
Trump juga memberi amaran bahawa serangan darat terhadap Venezuela akan bermula tidak lama lagi.-REUTERS.