SEOUL, 29 Disember - Korea Utara menembak dua peluru berpandu strategik jarak jauh pada Ahad yang disifatkan media tempatan sebagai demonstrasi "kesiapsiagaan tempur" terhadap ancaman asing.
Latihan peluru berpandu itu diadakan di Laut Kuning bawah seliaan pemimpin republik berkenaan, Kim Jong Un, bertujuan menilai tindak balas dan keupayaan tempur unit kecil peluru berpandu jarak jauh.
Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan peluru berpandu itu terbang selama lebih dua jam, sambil berkongsi gambar peluru berpandu yang dilancarkan dan mengenai sasaran.
Ketua Turus Bersama Republik Korea memaklumkan, peluru berpandu itu ditembak pada pukul 8 pagi Ahad dari kawasan Sunan berhampiran ibu negara Pyongyang.
Menurut KCNA, Pyongyang telah berikrar akan terus menumpukan segala usaha kepada pembangunan tanpa had dan berterusan pasukan tempur nuklear negara.
Kali terakhir Korea Utara mengadakan ujian peluru berpandu balistik pada awal November, kira-kira seminggu selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyatakan minat untuk bertemu dengan Kim.
Minggu lalu, Pyongyang mempamerkan kapal selam nuklear miliknya sendiri.
Gambar yang diterbitkan oleh KCNA menunjukkan Kim berjalan di sisi sebuah kapal selam yang didakwa seberat 8,700 tan di sebuah tapak pemasangan tertutup, dikelilingi pegawai dan anak perempuannya, Kim Ju Ae.
Pyongyang juga telah meningkatkan ujian peluru berpandu secara ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini. -AFP