PRISTINA, 29 Disember - Parti pimpinan Perdana Menteri nasionalis Kosovo, Albin Kurti, dijangka muncul sebagai pemenang pilihan raya pada Ahad, namun masih belum jelas sama ada ia memperoleh majoriti mencukupi untuk menamatkan kebuntuan politik yang telah melumpuhkan parlimen sejak lebih setahun lalu.
Menurut tinjauan yang disiarkan stesen televisyen Dukagjini sejurus pusat pengundian ditutup, parti Vetevendosje pimpinan Kurti memperoleh kira-kira 45.7 peratus undi.
Bagaimanapun, keputusan itu dilihat tidak mencukupi untuk meraih 61 kerusi diperlukan bagi membentuk kerajaan secara bersendirian dalam parlimen 120 kerusi.
Dua parti pembangkang utama, Parti Demokratik Kosovo dan Liga Demokratik Kosovo masing-masing diramal memperoleh 22 peratus dan 15.6 peratus undi.
Pilihan raya itu merupakan yang kedua diadakan tahun ini selepas Vetevendosje gagal memperoleh majoriti dalam undian Februari lalu.
Rundingan pembentukan kerajaan yang berlarutan tanpa hasil mendorong Presiden Vjosa Osmani membubarkan parlimen pada November dan mengadakan pilihan raya awal.
Kegagalan sekali lagi untuk membentuk kerajaan dijangka memanjangkan krisis politik pada waktu kritikal, ketika parlimen perlu memilih presiden baharu pada April serta meluluskan perjanjian pinjaman bernilai kira-kira €1 bilion daripada Kesatuan Eropah dan Bank Dunia yang bakal tamat tempoh dalam tempoh terdekat. -REUTERS