LATAKIA, 28 Disember -Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh manakala lebih 40 lagi cedera selepas satu perhimpunan di bandar Latakia, Syria bertukar ganas.
Menurut Pejabat Media Wilayah Latakia, insiden berlaku ketika ribuan penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Azhari bagi menuntut sistem persekutuan serta pembebasan tahanan daripada komuniti Alawite.
Keadaan menjadi tegang kira-kira dua jam selepas perhimpunan bermula apabila tembakan dilepaskan dari arah yang tidak dikenal pasti, sebelum pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke udara bagi mengawal situasi.
Rakaman di lokasi menunjukkan orang awam berlari menyelamatkan diri, sementara beberapa mangsa yang cedera dibawa keluar dari kawasan protes dengan bantuan penduduk setempat.
Seorang penduduk Latakia, Salman Mansour berkata, protes itu bertujuan menuntut hak kehidupan yang lebih adil serta jaminan keselamatan buat masyarakat setempat.
“Kami turun menuntut maruah dan hak untuk hidup.
Kami mahu sistem persekutuan supaya setiap wilayah dapat ditadbir dengan adil dan kami tidak lagi menjadi mangsa keganasan di tanah sendiri,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Nisreen Khazem berkata, tuntutan itu timbul berikutan hilangnya kepercayaan terhadap keselamatan awam.
Ia susulan kes penculikan dan pembunuhan yang didakwa menyasarkan komuniti tertentu.
“Kami menuntut sistem persekutuan kerana tiada lagi rasa selamat. Ramai diculik dan dibunuh tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Latakia merupakan antara kawasan utama komuniti Alawite, kumpulan minoriti yang pernah menjadi teras sokongan kepada bekas Presiden Bashar al-Assad, yang digulingkan tahun lalu.
Sejak perubahan kepimpinan, Syria berdepan beberapa insiden keganasan termasuk pembunuhan lebih 1,000 orang Alawite pada Mac lalu susulan kegagalan pemberontakan penyokong Assad.
Minggu lepas, lapan orang terbunuh dalam letupan bom di sebuah masjid Alawite di bandar Homs, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan awam di beberapa wilayah negara itu.
Pihak berkuasa Syria setakat ini belum mengesahkan punca sebenar tembakan atau pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian di Latakia. -REUTERS