BEIJING, 29 Disember - China sedang menjalankan latihan ketenteraan besar-besaran di sekitar Taiwan, dengan aktiviti tembakan sebenar dijadualkan berlangsung pada esok (Selasa) di lima zon perairan dan ruang udara berhampiran pulau itu.
Jurucakap Pemerintah Medan Timur Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), Kolonel Shi Yi dalam satu kenyataan memaklumkan, bermula hari ini pasukan darat, laut, udara dan roket akan menyertai latihan ketenteraan bersama yang dinamakan 'Justice Mission 2025'.
Satu kenyataan berasingan turut dikeluarkan memaparkan peta yang menunjukkan lima zon besar mengelilingi Taiwan, iaitu lokasi aktiviti tembakan sebenar akan dijalankan dari pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang Selasa.
"Demi keselamatan, mana-mana kapal atau pesawat yang tidak berkaitan dinasihatkan supaya tidak memasuki perairan dan ruang udara yang dinyatakan," menurut kenyataan itu.
Demonstrasi kekuatan berskala besar ini dirancang selepas beberapa minggu ketegangan antara China dengan Jepun tercetus susulan kenyataan yang mencadangkan kemungkinan sokongan Tokyo terhadap Taiwan sekiranya berlaku konflik bersenjata pada masa hadapan.
Ia juga menyusul selepas pusingan terbaharu penjualan senjata oleh Amerika Syarikat kepada Taipei yang mencetuskan reaksi keras daripada Beijing.
"Latihan minggu ini merupakan amaran tegas kepada kuasa pemisah 'kemerdekaan Taiwan' dan tindakan yang sah serta perlu untuk mempertahankan kedaulatan dan perpaduan negara China," kata Shi. -AFP