fb fb fb fb fb

13 maut, 98 cedera kereta api tergelincir di Mexico

Kereta api itu membawa lebih 200 penumpang semasa sebahagian gerabak tergelincir dari landasan/ Foto AFP

MEXICO CITY, 29 Disember - Sebuah kereta api yang membawa 250 penumpang tergelincir di Mexico pada Ahad, mengakibatkan 13 orang terbunuh dan 98 lagi cedera.

Kejadian berlaku di negeri Oaxaca di selatan, menurut tentera laut Mexico yang mengendalikan laluan rel berkenaan.

Laporan awal menyebut seramai 20 orang mengalami kecederaan, namun beberapa jam kemudian jumlah mangsa yang cedera meningkat mendadak.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum telah mengarahkan setiausaha tentera laut dan pegawai-pegawai kanan membantu keluarga mangsa yang terlibat, manakala Pejabat Peguam Negara telah mengarahkan agar siasatan dibuka bagi mengenal pasti punca kejadian.

Kereta api itu yang beroperasi antara Teluk Mexico dengan Lautan Pasifik, membawa penumpang dan juga kargo.

Laluan tersebut dirasmikan pada tahun 2023 sebagai projek infrastruktur utama bawah pentadbiran bekas Presiden Andres Manuel Lopez Obrador bagi membangunkan wilayah di tenggara Mexico.

Pada 20 Disember lalu, sebuah kereta api di laluan yang sama turut bertembung dengan sebuah lori kargo yang cuba menyeberang landasan, namun insiden itu tidak mengakibatkan sebarang kematian. -AFP

MASNIZA AWANG KECHIK