fb fb fb fb fb

Pelarian Rohingya harap majlis kepimpinan baharu rintis jalan pulang

Keadaan daif di kem pelarian Cox's Bazar/ Foto Amnesty International

COX'S BAZAR, 29 Disember - Etnik Rohingya yang berlindung di kem-kem pelarian di Bangladesh telah memilih majlis kepimpinan yang baharu, dengan harapan dapat memperbaiki keadaan, serta menghidupkan semula usaha untuk membolehkan mereka kembali ke Myanmar.

Pemilihan diadakan pada Julai lalu, iaitu pilihan raya pertama sejak gelombang kedatangan mereka ke Bangladesh bermula lapan tahun lalu, yang membawa kepada pembentukan 'United Council of Rohang' (UCR).

"Mereka sedang berusaha untuk membawa kami pulang," kata Khairul Islam, 37 tahun yang sebelum ini memiliki perniagaan kayu yang berkembang pesat di Myanmar.

Majlis baharu ini membawa sinar harapan kepadanya, di sebalik ketidakpastian masa depan.

"Kami sukar untuk bernafas di dalam bilik kem yang sempit ini. Semua ahli keluarga kami tinggal dalam satu bilik sahaja," katanya.

"Di dalamnya terlalu panas. Di Myanmar, kami tidak memerlukan kipas siling pun. Pada musim panas, kami duduk di bawah pokok-pokok tinggi," kata Islam.

Lebih 3,000 pengundi dari 33 buah kem pelarian mengundi untuk memilih jawatankuasa eksekutif dan lima presiden bergilir untuk memberi tumpuan kepada hak asasi manusia, pendidikan, dan kesihatan.

Ketika berucap di salah satu kem, Presiden UCR, Mohammad Sayed Ullah mengingatkan pelarian agar tidak melupakan keganasan yang memaksa kumpulan minoriti Islam itu meninggalkan negeri Rakhine di Myanmar.

"Jangan lupa bahawa kita meninggalkan kubur ibu bapa kita. Isteri kita mati dalam perjalanan ke sini. Mereka diseksa dan dibunuh, ada yang lemas di laut. Kita mesti bersiap sedia untuk pulang," kata Sayed Ullah sambil menambah bahawa UCR mahu muncul sebagai suara Rohingya di meja rundingan.

Pembentukan majlis kepimpinan itu bukan percubaan pertama untuk memperjuangkan hak dan kepentingan pelarian Rohingya.

Beberapa kumpulan telah muncul selepas 2017, termasuk 'Arakan Rohingya Society for Peace and Human Rights' yang pernah dipimpin oleh aktivis terkenal Mohib Ullah, namun beliau dibunuh pada 2021.

Bahkan sebelum itu, banyak organisasi ditutup selepas perhimpunan besar pada 2019 apabila Rohingya menyatakan mereka hanya akan pulang dengan jaminan hak penuh dan keselamatan.

"Beberapa akhbar salah menggambarkan kami, mendakwa kami ingin kekal secara kekal di Bangladesh. Banyak penganjur ditahan. Tamparan paling hebat ialah pembunuhan Mohib Ullah," kata Sayed Ullah lagi.

Namun, kepercayaan perlahan-lahan kembali dibina dalam kalangan pelarian Rohingya di kem Cox's Bazar.

"Sudah tentu kami akan pulang," kata Mosharraf, 18 tahun yang melarikan diri dari bandar Buthidaung bersama keluarganya.

Beliau yakin UCR akan merundingkan pendidikan yang lebih baik buat mereka.

"Jika kami lebih berpendidikan, kami boleh membina konsensus global untuk kepulangan kami," katanya.

Menurut penganalisis, masih tidak jelas sama ada majlis baharu ini benar-benar mewakili Rohingya atau sekadar berkhidmat untuk kepentingan pihak berkuasa Bangladesh.

"Pilihan raya UCR nampaknya dikawal rapat oleh pihak berkuasa," kata Thomas Kean, perunding kanan di 'International Crisis Group'. -AFP

MASNIZA AWANG KECHIK