fb fb fb fb fb

16 maut, kebakaran di rumah jagaan warga emas di Sulawesi

Kebakaran itu turut menyebabkan tiga lagi mangsa melecur/ Foto REUTERS

MANADO, 29 Disember - 16 orang terbunuh dalam kebakaran di sebuah rumah penjagaan warga emas di bandar Manado, Sulawesi Utara di Indonesia.

Kebakaran itu turut menyebabkan tiga lagi mangsa mengalami kecederaan akibat melecur.

Agensi berita Antara memetik pegawai polis tempatan, Alamsyah P. Hasibuan sebagai berkata, kebakaran di Rumah Penjagaan Warga Emas Werdha Damai berjaya dipadamkan pada lewat malam Ahad (28 Disember).

Pihak berkuasa masih menyiasat punca kejadian.

Rakaman yang disiarkan oleh saluran berita Metro TV menunjukkan api marak melalui bangunan itu, menjadikan langit malam berwarna jingga dengan beberapa penghuni membantu seorang warga emas keluar dari bangunan yang terbakar.

Ketua balai bomba Manado, Jimmy Rotinsulu pula mengesahkan panggilan kecemasan diterima pada pukul 8.31 malam waktu tempatan.

Api berjaya dipadamkan kira-kira sejam kemudian. -REUTERS

MASNIZA AWANG KECHIK