KHARTOUM, 22 Disember - Lebih 107,000 orang awam Sudan kehilangan tempat tinggal di bandar El-Fasher dan kampung-kampung sekitarnya di negeri Darfur Utara susulan keadaan keselamatan yang semakin merosot, menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan, agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu memaklumkan dianggarkan 107,294 orang melarikan diri dari El-Fasher dan kawasan berhampiran antara 26 Okt hingga 8 Dis selepas Rapid Support Forces (RSF) menguasai bandar berkenaan.
Kira-kira 72 peratus daripada mereka yang kehilangan tempat tinggal kekal berada di Darfur Utara, khususnya di bahagian utara dan barat negeri itu, manakala sekitar 19 peratus berpindah ke negeri-negeri lain termasuk Darfur Tengah, Negeri Utara dan Negeri White Nile, menurut IOM.
Kira-kira 75 peratus daripada mereka yang kehilangan tempat tinggal sejak 26 Okt telah menjadi pelarian dalaman sebelum ini, termasuk individu yang pada awalnya melarikan diri dari kem-kem pemindahan utama seperti Zamzam dan Abu Shouk atau kawasan kejiranan di dalam El-Fasher semasa peningkatan konflik terdahulu.
Pertubuhan itu memberi amaran bahawa sekatan pergerakan dan konflik yang berterusan berpotensi mengehadkan mobiliti serta mengubah laluan pemindahan bergantung kepada perkembangan situasi di lapangan.
Tiga negeri Kordofan iaitu Utara, Barat dan Selatan menyaksikan pertempuran sengit selama beberapa minggu antara tentera dan RSF, sekali gus memaksa puluhan ribu penduduk melarikan diri.
Daripada 18 negeri di Sudan, RSF menguasai kesemua lima negeri di wilayah Darfur di barat, kecuali beberapa kawasan utara Darfur Utara yang masih berada di bawah kawalan tentera.
Tentera pula menguasai sebahagian besar kawasan di 13 negeri di selatan, utara, timur dan tengah negara itu, termasuk ibu negara, Khartoum.
Konflik antara tentera Sudan dan RSF yang bermula pada April 2023 mengorbankan ribuan nyawa dan menyebabkan jutaan orang kehilangan tempat tinggal. -BERNAMA-ANADOLU