fb fb fb fb fb

Kampung di Sisaket kosong susulan konflik Kemboja-Thailand

FOTO REUTERS

THAILAND, 22 Disember - Kampung-kampung di wilayah Sisaket, Thailand bersempadan dengan Kemboja, sunyi dan kosong selepas penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan susulan konflik sempadan.

Seorang wartawan China Media Group (CMG) dibenarkan memasuki zon konflik pada Ahad dan mendapati bangunan kediaman berlubang akibat peluru serta kawah besar di beberapa lokasi disebabkan tembakan roket dan artileri.

Menurut Leftenan Jeneral Tentera Thailand, Patchakorn, penduduk perlu terus kekal di kawasan perlindungan dan hanya petugas keselamatan yang berada di kawasan itu.

"Bila penduduk boleh pulang ke rumah? Belum lagi. Mereka masih perlu kekal di pusat perlindungan. Ia bergantung kepada situasi, kerana keadaan masih belum pulih sepenuhnya," katanya di sini.

Tembakan artileri masih kedengaran sepanjang hari, yang menurut tentera Thailand, adalah serangan mereka terhadap posisi Kemboja.

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, berkata pasukan Thailand kini menguasai hampir semua kawasan sasaran dan memaksa pasukan Kemboja berundur, sambil memantau kawasan berkenaan bagi mengelak sebarang pertembungan semula.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Surasant Kongsiri berkata sejak konflik Kemboja-Thailand tercetus semula pada 7 Disember, 34 orang awam Thailand terkorban.

Manakala, menurut Kementerian Pertahanan Kemboja, angka korban orang awam di Kemboja meningkat kepada 19 orang. -REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM