fb fb fb fb fb

AS desak PBB kecam program nuklear Iran

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump / Foto AP

NEW YORK, 13 Mac- Amerika Syarikat pada Rabu menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) supaya bersatu dalam mengecam tindakan berani Iran berkaitan program nuklearnya, selepas mesyuarat tertutup yang diadakan di sini.

Beberapa anggota Majlis Keselamatan meminta mesyuarat tersebut susulan laporan terkini daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang menyatakan bahawa Iran telah meningkatkan simpanan uranium diperkaya tinggi kepada tahap 60 peratus iaitu hampir kepada 90 peratus, tahap yang diperlukan untuk membina senjata nuklear.

"Presiden AS Donald Trump telah menegaskan bahawa program nuklear Iran merupakan ancaman kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa, yang menjadi tanggungjawab Majlis Keselamatan untuk dilindungi," menurut kenyataan duta AS selepas mesyuarat itu.

Washington menuduh Tehran terus mengingkari Majlis Keselamatan secara terang-terangan dan melanggar peraturan IAEA.

"Majlis mesti bersikap jelas dan bersatu dalam menangani serta mengecam tindakan berani ini," kata kenyataan itu, sambil menegaskan bahawa AS akan terus menerapkan strategi 'tekanan maksimum' bagi menghalang Iran memperoleh senjata nuklear.

Sejak kembali ke White House pada Januari, Trump telah menyeru perjanjian nuklear baharu dengan Iran, tetapi Tehran menegaskan tiada perjanjian boleh dibuat selagi sekatan keras masih berkuat kuasa.

Trump juga mengesahkan bahawa beliau telah menghantar surat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menggesa rundingan dan memberi amaran kemungkinan tindakan ketenteraan sekiranya Iran enggan berunding.

Sementara itu, Khamenei menegaskan bahawa Iran tidak bercadang membangunkan senjata nuklear dan menyifatkan ancaman AS sebagai "tidak bijak".

Beliau turut menuduh tawaran rundingan Trump sebagai satu helah bagi "memperdaya pandangan masyarakat dunia", dengan menampilkan AS seolah-olah bersedia berunding manakala Iran dilihat enggan.

Di ibu pejabat PBB, duta timbalan Britain ke PBB, James Kariuki, menyebut kemungkinan mengaktifkan mekanisme ‘snapback’, yang membolehkan sekatan antarabangsa terhadap Iran dikuatkuasakan semula.

"Kami jelas bahawa kami akan mengambil apa sahaja langkah diplomatik untuk menghalang Iran memperoleh senjata nuklear, termasuk penggunaan mekanisme 'snapback' jika perlu," katanya kepada wartawan selepas mesyuarat Majlis Keselamatan.

Britain, Perancis, dan Jerman telah pun menghantar surat kepada Majlis pada Disember lalu bagi memberi amaran tentang kemungkinan pelaksanaan mekanisme itu.

Pada tahun 2015, Iran mencapai perjanjian nuklear dengan Britain, China, Perancis, Jerman, Rusia, dan Amerika Syarikat, yang memberi kelonggaran terhadap sekatan ekonomi ke atas Tehran.

Namun, pada tahun 2018, dalam penggal pertamanya sebagai Presiden, Trump menarik AS keluar dari perjanjian tersebut dan mengenakan semula sekatan ekonomi yang lebih berat.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD