fb fb fb fb fb

Angka korban kebakaran LA meningkat kepada 28 orang

Gambar satelit inframerah gelombang pendek (SWIR) ini, yang disediakan oleh Maxar Technologies, menunjukkan rumah-rumah di Pacific Palisades, sebuah kawasan kejiranan di Los Angeles, California / AFP

LOS ANGELES, 22 Januari- Lebih dua minggu selepas kebakaran hutan yang dahsyat melanda Los Angeles, California, jumlah kematian yang disahkan kini meningkat kepada 28 orang, berbanding 27 sebelum ini, menurut kenyataan pejabat pemeriksa perubatan negara pada Selasa.

Empat kebakaran masih aktif di seluruh Daerah Los Angeles, menurut Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (Cal Fire).

Setakat Selasa, kebakaran tersebut telah memusnahkan 40,687 ekar tanah dan lebih 15,000 bangunan, sementara lebih 100,000 penduduk diarahkan berpindah.

Kebakaran terbesar, dikenali sebagai Palisades Fire, telah memusnahkan 23,448 ekar di kawasan kejiranan mewah Pacific Palisades berhampiran pantai. Sementara itu, kebakaran Eaton Fire membakar 14,021 ekar di kawasan kaki bukit sekitar bandar Altadena, timur laut pusat bandar Los Angeles.

Palisades Fire kini berjaya dikawal sebanyak 65%, manakala tahap kawalan ke atas Eaton Fire telah mencapai 89% dengan usaha pemadaman kebakaran menunjukkan kemajuan ketara.

Dalam pada itu, dua lagi kebakaran kecil yang membakar keseluruhan 123 ekar dilaporkan berlaku pada pagi Selasa di San Diego, kira-kira 195 kilometer di tenggara Los Angeles. Tahap kawalan untuk kedua-dua kebakaran tersebut masing-masing berada pada kadar 50% dan 40%.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE