Jerebu di Sarawak: Keputusan tutup sekolah bergantung bacaan IPU

Foto RTM

KUCHING, 12 Ogos – Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak masih memantau situasi jerebu semasa sebelum membuat keputusan penutupan sekolah di kawasan kritikal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penutupan sekolah sukar kerana perlu adakan hari sekolah ganti.
  • Jika IPU Serian melepasi 201 (sangat tidak sihat), pejabat pendidikan daerah boleh menutup sekolah serta merta.
  • Semua pihak sedia maklum protokol penutupan sekolah semasa jerebu.
  • Penglihatan semakin terhad kurang 300 meter di Kuching dan Serian, namun aktiviti harian masih berjalan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli berkata penutupan sebarang sekolah bukanlah satu pilihan yang mudah bagi semua pihak kerana ia akan melibatkan sekolah ganti.

“Namun jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian melepasi tahap sangat tidak sihat iaitu, 201, pejabat pendidikan daerah dibenarkan menutup sekolah serta merta.

“Setakat pukul 8.00 pagi tadi, Serian mencatatkan ambang bacaan sangat tidak sihat iaitu 194,” katanya.

Beliau yang dihubungi RTM pagi tadi turut menjelaskan semua pihak sedia maklum akan protokol penutupan sekolah semasa jerebu ini.

Tinjauan RTM di sekitar Kuching dan Serian mendapati kadar penglihatan semakin terhad dengan jarak kurang 300 meter.

Namun aktiviti harian dan riadah masih berjalan seperti biasa.

Setakat pukul 8.00 pagi tadi, sembilan kawasan di Sarawak merekodkan bacaan tidak sihat meliputi Kuching, Samarahan, Sibu, Sri Aman, Bintulu, Samalaju, Sarikei, Miri dan paling terjejas Serian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.