fb fb fb fb fb

17 terbunuh dalam serangan Israel di Gaza

Foto AFP

GAZA, 8 Oktober- Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dalam serangan Israel di sebuah kem pelarian di tengah Gaza.

Jurucakap Agensi Pertahanan Awam Gaza, Mahmud Bassal berkata serangan itu turut menyebabkan beberapa yang lain mengalami kecederaan.

"Pasukan pertahanan awam menemukan 17 mangsa, termasuk kanak-kanak, serta beberapa yang cedera dari rumah tiga tingkat milik keluarga Abdul Hadi, yang dibom oleh peluru berpandu dari jet Israel di kem pelarian Al-Bureij, tengah Gaza," katanya dalam satu kenyataan.

Bassal berkata, mayat dan mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Al-Awda di kem Nuseirat dan Hospital Al-Aqsa Martyrs di bandar Deir el-Balah.

Petugas perubatan di Hospital Al-Awda mengesahkan jumlah korban tersebut.

Bassal sebelum ini memberitahu AFP bahawa beberapa serangan udara terus menghentam kawasan tengah dan utara Gaza sejak awal pagi Selasa.

Saksi dan penyelamat turut melaporkan bahawa operasi ketenteraan Israel diteruskan di Jabaliya, di mana tentera melancarkan serangan darat sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Ramai penduduk Jabaliya melarikan diri dari rumah atau khemah mereka ketika jet Israel mengebom kawasan itu.

Iman Abu Najm, 33, meninggalkan rumahnya ketika serangan terbaharu Israel bermula di Jabaliya.

"Tembakan itu tidak henti-henti, kanak-kanak menjerit, orang ramai panik di jalanan, dan tembakan menyasarkan rumah serta orang awam.

"Ramai yang terperangkap dalam kediaman mereka akibat tembakan tersebut," katanya kepada AFP. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: 

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM