fb fb fb fb fb

Kesan peperangan di Gaza, cetus kebimbangan

Keadaan di kem pelarian Jabalia, di utara Gaza/ REUTERS

KHAN YOUNIS, 6 Oktober- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan terdapat lebih 42 juta tan serpihan di Gaza akibat serangan yang dilancarkan Israel ke atas bandar itu.

Angka itu adalah 14 kali ganda jumlah runtuhan terkumpul di Gaza antara 2008 dan pada permulaan perang setahun lalu, kata PBB.

Timbunan berkenaan digambarkan akan memenuhi Piramid Giza yang terbesar di Mesir, dan ia bertambah setiap hari.

Bagaimanapun PBB cuba membantu pihak berkuasa Gaza dengan mempertimbangkan cara menangani runtuhan itu.

Kumpulan Kerja Pengurusan Serpihan yang diketuai PBB merancang projek perintis dengan pihak berkuasa Palestin di Khan Younis dan bandar Deir El-Balah di tengah Gaza untuk melakukan pembersihan serpihan bulan ini.

"Cabarannya sangat besar," kata Ketua Pejabat Gaza untuk Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP) Alessandro Mrakic.

"Ia akan menjadi operasi besar-besaran, tetapi pada masa sama, adalah penting untuk kita mulakan sekarang," katanya lagi.

Sementara itu kediaman dua tingkat milik bekas pekerja pembinaan, Jihad Shamali, 42 tahun turut musnah akibat serangan kejam itu.

Namun Jihad Shamali mengambil inisiatif dengan mengumpulkan sisa yang musnah untuk membuat nisan dan kubur bagi penduduk yang maut.

"Kami mengumpulkan sisa runtuhan bukan untuk membina rumah, namun ianya digunakan untuk membuat batu nisan dan kubur," kata Jihad Shamali.

Anak lelakinya, Mohammed yang berusia 11 tahun juga mengumpulkan kesan runtuhan ke dalam baldi untuk membantu bapanya membuat nisan dan kubur.

Pada Mac lalu, keluarga itu juga membina kubur untuk salah seorang anak lelakinya, Ismail yang terbunuh dalam serangan rejim Zionis.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI