fb fb fb fb fb

15 kes hepatitis kronik, tiga kematian dikesan di Indonesia

(Ibu pejabat WHO di Geneva/FOTO AFP)

JAKARTA, 9 Mei- Indonesia mengenal pasti 15 kes hepatitis kronik yang tidak diketahui puncanya selepas melaporkan tiga kematian dalam kalangan kanak-kanak.

Menurut Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin, pada taklimat media hari ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada minggu lalu mengatakan menerima sekurang-kurangnya 228 kes daripada 20 negara yang berkemungkinan adalah hepatitis dalam kalangan kanak-kanak atau keradangan hati.

Budi berkata, Indonesia mengesan 15 kes sejak negara itu melakukan siasatan terhadap penyakit berkenaan baru-baru ini, sambil menjelaskan setakat ini pihak berkuasa kesihatan belum mengenal pasti puncanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan kesemua 15 kes adalah kanak-kanak atau pun memaklumkan rawatan yang sudah diberikan kepada pesakit.

Sementara itu, sesetengah pakar kesihatan mengaitkan penyakit itu dengan jangkitan jenis adenovirus, iaitu kumpulan keluarga virus biasa yang boleh menyebabkan gejala seperti selesema atau gastrousus.


(Indonesia mengenal pasti 15 kes hepatitis kronik yang tidak diketahui puncanya
selepas melaporkan tiga kematian dalam kalangan kanak-kanak/FOTO REUTERS)


Namun, terdapat juga teori perintah berkurung COVID-19 mungkin melemahkan imuniti kanak-kanak berikutan mereka kurang terdedah kepada patogen biasa semasa dalam tempoh diasingkan.

Saintis juga sedang mengkaji sama ada adenovirus yang terbabit sudah bermutasi atau bertindak balas seiring dengan jangkitan lain termasuk berkemungkinan kerana COVID-19.

Awal bulan ini, Indonesia melaporkan tiga kanak-kanak yang disyaki dijangkiti penyakit itu meninggal dunia di ibu negara, Jakarta.

Mereka sudah menerima vaksin hepatitis, kata Kementerian Kesihatan. -REUTERS

Media Baharu