fb fb fb fb fb

14 rakyat Palestin terkorban, ditembak ketika tunggu trak makanan

Foto AFP

GAZA, 15 Mac- Seramai 14 penduduk Palestin terkorban dan 150 orang cedera dalam serangan rejim zionis, ketika mereka sedang menunggu untuk menerima bantuan makanan.

Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas dalam kenyataan berkata, dalam kejadian itu, tentera Israel bertindak menembak rakyat Palestin yang sedang berkumpul di sebuah bulatan di utara bandar Gaza.

Pengarah perkhidmatan kecemasan di sebuah hospital di utara Gaza, Mohammed Ghurab memberitahu AFP, pasukan pendudukan menembak ke arah penduduk Palestin yang sedang menunggu trak makanan.

Wartawan AFP turut melihat beberapa mayat dan mangsa yang telah ditembak dalam kejadian itu.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran tentang kebuluran di Gaza, yang telah dikepung Israel sejak permulaan konflik Palestin-Israel pada Oktober lalu, berikutan serangan Hamas yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Situasi kecemasan itu telah mendorong beberapa negara untuk mempelbagaikan laluan bekalan bantuan, termasuk menerusi udara dan laut, kerana jalan darat ke Gaza melalui Jordan, Israel dan Mesir masih agak terhad.

Kementerian Kesihatan berkata serangan balas dendam berterusan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 31,341 orang, kebanyakannya orang awam.-AFP

ROSLINA BINTI DIN