fb fb fb fb fb

10 terbunuh dalam serangan di Tebing Barat

Foto REUTERS

JENIN, Tebing Barat, 29 Ogos- Ratusan tentera Israel dilengkapi dengan helikopter, dron, dan kereta kebal melakukan serangan terhadap bandar Jenin dan Tulkarm serta kawasan lain di Tebing Barat pada Rabu, membunuh sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin.

Serangan berkenaan merupakan paling besar dilakukan di Tebing Barat dalam beberapa bulan selepas beberapa serangan kecil di kawasan itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini ketika pasukan Israel berusaha untuk mematahkan serangan kumpulan-kumpulan pejuang Palestin.

Sayap bersenjata Hamas, Jihad Islam dan Fatah dalam kenyataan berasingan berkata pasukan penembak kumpulan berkenaan berjaya meletupkan kenderaan tentera Israel di Jenin, Tulkarm, dan Far'a, sebuah bandar di Lembah Jordan.

Pihak berkuasa kesihatan Palestin berkata sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin telah terbunuh di beberapa kawasan di Tebing Barat oleh pasukan Israel semasa operasi berkenaan.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata tentera Israel telah mengepung hospital utama Jenin dan menyekat akses dengan timbunan tanah yang merupakan satu langkah yang dikatakan tentera Israel bertujuan untuk menghalang pasukan pejuang untuk mencari perlindungan.

Selain daripada serbuan besar di Jenin dan Tulkarm, tentera Israel turut menyerang bandar Far'a berhampiran Tubas di Lembah Jordan, membunuh sekurang-kurangnya empat orang dalam serangan dron.

Masoud Naaja, bapa kepada dua lelaki muda yang terbunuh dalam serangan tersebut, berkata beliau sedang memberi air kepada beberapa lelaki yang meminta minuman ketika serangan.

"Dalam beberapa waktu yang cepat, kami merasakan sesuatu jatuh ke atas kami dari langit dan ada letupan," katanya.

"Apabila saya meletakkan tangan saya di dada, ia penuh dengan serpihan letupan dan darah", katanya.

Kempen Israel di Gaza telah merobohkan sebahagian besar wilayah tersebut serta memindahkan hampir semua 2.3 juta penduduknya beberapa kali, menyebabkan kebuluran dan penyakit serta membunuh lebih daripada 40,500 orang, menurut pegawai kesihatan Palestin.-REUTERS

BERITA BERKAITAN :

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD