GAZA, 26 Ogos- Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan berterusan Israel terhadap Gaza kini mencecah 40,405 orang.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan turut menyebabkan 93,468 orang lagi mengalami kecederaan sejak tercetusnya konflik Israel-Hamas pada Oktober lalu.
"Seramai 71 orang terkorban dengan 112 orang lagi mengalami kecederaan dalam tempoh 24 jam lalu," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, pegawai kanan Hamas, Osama Hamdan berkata Israel masih melengah-lengahkan rundingan gencatan senjata.
Delegasi Hamas tiba di Mesir pada Sabtu lalu untuk menantikan hasil rundingan gencatan senjata Gaza di Kaherah termasuk rundingan mengenai pengunduran tentera Israel dari Gaza, pertukaran tahanan yang adil dan lain-lain perkara.
Bagaimanapun, tiada perjanjian dimeterai dalam rundingan gencatan senjata Gaza yang berlaku di Kaherah.
Hamas dan Israel tidak bersetuju dengan beberapa terma tolak ansur yang dibentangkan oleh pengantara Mesir dan Qatar.
Sekali gus menimbulkan keraguan terhadap usaha terbaharu Amerika Syarikat untuk menamatkan konflik yang telah berlarutan lebih 10 bulan itu.- REUTERS