CARACAS, 26 Ogos- Polis Venezuela menahan seorang wartawan dan anaknya pada Ahad di Caracas, ketika krisis pasca pilihan raya negara itu berterusan berikutan pemilihan semula Presiden Nicolas Maduro yang dipertikai.
"Pegawai polis negara menahan seorang wartawan, Carmela Longo bersama anaknya," kata Kesatuan Pekerja Akhbar Kebangsaan (SNTP) dalam satu catatan di platform media sosial X, selepas melaporkan serbuan di kediamannya.
SNTP berkata ejen telah merampas peralatan komputer milik Longo dan mengeluarkan video yang menunjukkan Longo dan anaknya memasuki kenderaan polis.
Penangkapan Longo, seorang wartawan hiburan merupakan penahanan ketujuh seorang wartawan atau editor sejak pilihan raya Venezuela pada 28 Julai, menurut data kesatuan akhbar.
Bagaimanapun, polis tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai penahanan terbaharu itu.
Majlis Pemilihan Kebangsaan (CNE) mengisytiharkan Maduro sebagai pemenang undian, tetapi tidak mengeluarkan data untuk menyokong kesimpulan itu.
Pembangkang mendakwa kemenangan dalam pilihan raya, mengeluarkan data peringkat pusat mengundi yang dikatakan menunjukkan ia memenangi 67 peratus undi.
Bantahan sejak pilihan raya telah menyebabkan 27 orang terbunuh, dua daripadanya adalah anggota tentera dan hampir 200 cedera manakala lebih 2,400 orang ditangkap.
Pada Selasa, Longo berkata dia telah dipecat daripada akhbar Ultimas Noticias, tempat dia bekerja selama hampir dua dekad.
"Berpuluh-puluh pekerja media negara telah dipecat kerana menyiarkan berita memihak kepada pembangkang di platform media sosial sejak pilihan raya," jelas SNTP.
Maduro menuduh pesaingnya menggunakan rangkaian untuk melancarkan "kempen kebencian" dan sebelum ini mengarahkan penyekatan platform X selama 10 hari.- AFP