fb fb fb fb fb

Gaza; Israel lancar serangan, arah kereta kebal masuki Khan Younis

Foto REUTERS

KAHERAH, 29 Ogos-Pasukan tentera Israel telah menghantar kereta kebalnya memasuki Khan Younis di selatan Gaza dan melancarkan serangan di wilayah berkenaan ketika pertempuran menentang kumpulan pejuang Hamas yang mengorbankan sekurang-kurangnya 34 orang pada Rabu, kata pasukan perubatan.

Penduduk di Khan Younis berkata kereta kebal tentera Israel melakukan serangan mengejut di tengah-tengah bandar Gaza.

Tentera Israel turut mengarahkan pemindahan di timur Gaza menyebabkan kebanyakan keluarga warga Palestin melarikan diri, manakala sebahagiannya terperangkap di rumah masing-masing.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata serangan tentera Israel di Khan Younis mengakibatkan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh.

Dalam pada itu,Di bandar Deir Al-Balah pula, serangan udara tentera Israel mengakibatkanlapan rakyat Palestin terbunuh berhampiran sekolah, kata pihak perubatan.

Sementara di Nuseirat pula, seorang wartawan, Mohammed Abed-Rabbo terbunuh bersama-sama kakaknya dalam satu serangan yang menyasarkan rumah wartawan berkenaan.

Pejabat Media Hamas berkata kematian Abed Robbo telah menjadikan senarai wartawan yang terbunuh di tangan Israel kepada 172 orang sejak 7 Oktober lalu.

Lebih 40,000 rakyat Palestin terbunuh dalam konflik Hamas-Israel kata kementerian Kesihatan Gaza.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD