
SAUDARA PENGARANG
- Pengasuh mengkhianati amanah; hilang sifat ihsan menyebabkan bayi diperlakukan kejam, bukan dilindungi.
- Tangisan bayi perlu difahami dengan empati; bertindak dengan sabar, bukan kekerasan atau jalan pintas.
- Pengusaha dan rakan setugas mesti jaga kebajikan mental, hadkan beban, bertindak segera terhadap tanda kekerasan.
- Reformasi sistem sokongan: cuti bersalin lebih manusiawi, asuhan mampu milik dan penguatkuasaan undang-undang tegas.
Tragedi kematian bayi berusia empat bulan di pusat asuhan baru-baru ini bukan sekadar satu tajuk berita yang akan tenggelam minggu depan. Ia merupakan manifestasi kelumpuhan nilai yang mendedahkan satu luka besar pada wajah kemanusiaan dan menuntut analisis mendalam, melangkaui kegagalan prosedur operasi standard (SOP).
Peristiwa ini sebenarnya mencerminkan kegagalan naluri kemanusiaan serta hilangnya sifat ihsan dalam menjalankan amanah.
Satu ironi yang sangat pahit apabila kita secara kolektif menangisi nasib anak-anak di Gaza yang terkorban akibat serangan Zionis, sedangkan di tanah air sendiri terdapat anak-anak yang menemui ajal dalam keadaan tragis di tangan pengasuh yang sepatutnya menjadi pelindung mereka.
Di Gaza mereka syahid kerana musuh yang nyata, tetapi di sini mereka “syahid” akibat pengkhianatan amanah oleh insan yang dipanggil pengasuh.
Perbandingan ini bukan bertujuan memperkecil penderitaan di Palestin, sebaliknya untuk menyedarkan masyarakat bahawa kezaliman yang berlaku dalam ruang domestik kita sendiri kadangkala berpunca daripada akar yang sama dengan kezaliman global, iaitu hilangnya rasa takut kepada Tuhan dan ketiadaan empati terhadap makhluk yang lemah.
Amanah Bukan Sekadar Transaksi Kewangan
Perlu ditegaskan bahawa apabila ibu bapa menghantar anak ke taska, mereka bukan sekadar melakukan transaksi perniagaan. Mereka sebenarnya menyerahkan nyawa dan “jantung hati” untuk dijaga.
Dalam perspektif Islam, anak ialah amanah Tuhan yang sangat rapuh dan suci (fitrah). Sangat meruntun jiwa apabila mengenangkan ibu bapa membanting tulang demi kelangsungan hidup, sedangkan anak yang ditinggalkan dengan penuh kepercayaan diperlakukan dengan kejam.
Tindakan seperti menekup muka bayi dengan bantal atau mengasari mereka hanya kerana tangisan menunjukkan proses dehumanisasi, iaitu apabila bayi tidak lagi dilihat sebagai manusia, tetapi dianggap beban atau komoditi yang hanya bernilai pada tarikh bayaran yuran.
Pelaku mungkin terlepas daripada hukuman gantung di dunia melalui pelbagai teknikaliti undang-undang, namun bayang-bayang sebagai “pembunuh anak kecil” akan terus mengekori mereka dalam sejarah kemanusiaan.
Data menunjukkan bahawa kes seperti ini bukan kejadian terpencil. Statistik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan peningkatan kes kanak-kanak yang memerlukan perlindungan daripada pengasuh, dengan lonjakan ketara direkodkan pada tahun 2022 sebanyak 363 kes.
Kajian turut menunjukkan bahawa walaupun terdapat penurunan sementara semasa tempoh pandemik, angka ini kembali meningkat, menandakan masalah ini berakar umbi dalam personaliti pengasuh serta sistem sokongan yang rapuh.
Ihsan: Mendengar Suara Tanpa Kata
Bayi tidak mempunyai kata-kata. Tangisan merupakan satu-satunya bahasa mereka. Pengasuh yang mempunyai “jiwa” dalam tugasnya akan cuba menterjemah tangisan tersebut dengan penuh kesabaran.
Prinsip ihsan dalam pekerjaan menuntut seseorang melakukan tugas dengan kualiti terbaik seolah-olah Allah memerhatikan setiap perbuatan.
Tangisan bayi berusia empat bulan boleh membawa pelbagai makna yang memerlukan tindakan berbeza, bukannya kekerasan fizikal, antaranya:
-
Ketidakselesaan fizikal seperti kembung perut yang memerlukan sapuan minyak atau gerakan “kayuhan basikal” pada kaki bagi melepaskan angin.
-
Keperluan emosi untuk berasa selamat melalui sokongan fizikal atau didukung seketika sebelum terlelap.
-
Keperluan asas seperti lapar, haus atau lampin yang kotor.
Kegagalan pengasuh berkomunikasi secara empati dengan bayi menyebabkan mereka mengambil jalan pintas yang kejam untuk mendiamkan tangisan tersebut.
Sekiranya pengasuh berasa tertekan atau mencapai tahap keletihan melampau (burnout), prinsip sidq (benar) dalam komunikasi amat penting. Jalan penyelesaiannya ialah berkomunikasi dengan manusia dewasa, bukannya melepaskan geram kepada bayi.
Berterus-teranglah kepada ibu bapa sekiranya anda tidak mampu mengendalikan keadaan pada waktu tersebut. Jangan biarkan ego atau ketakutan kehilangan pekerjaan mendorong tindakan di luar batas kemanusiaan.
Kepada para pengasuh yang sedang hilang sabar, yang terasa tangan sudah ringan untuk mengasari atau terlintas keinginan menekup muka bayi dengan bantal hanya kerana mahukan “diam” yang abadi, beristighfarlah.
Ingatlah, tangan yang digunakan untuk menyakiti itu ialah tangan yang sama yang dipertanggungjawabkan Tuhan untuk membelai. Jangan bekerja hanya kerana wang sehingga sanggup menggadaikan nyawa anak syurga. Jika tidak mampu lagi memikul amanah, lepaskanlah dengan jujur. Jangan pulangkan mereka kepada ibu bapa dalam keadaan sekujur tubuh yang tidak bernyawa.
Seruan kepada Pengusaha dan Rakan Setugas
Kita perlu mengakui bahawa tugas mengasuh bayi merupakan pekerjaan yang sangat mencabar serta berisiko tinggi dari segi tekanan emosi. Namun, tekanan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan penderaan.
Kajian menunjukkan bahawa kira-kira 75 peratus pelaku penderaan fizikal mempunyai kaitan dengan kegagalan mengawal emosi akibat tekanan hidup.
Oleh itu, pengusaha taska mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan kebajikan mental pekerja terpelihara serta tidak membebankan mereka dengan jumlah bayi yang melebihi kemampuan manusiawi. Pengusaha taska juga tidak seharusnya hanya mengejar keuntungan sehingga “pekak” terhadap aduan.
Rakan setugas yang menyedari tanda-tanda panas baran atau kekerasan terhadap bayi wajib bertindak segera. Mereka boleh menggunakan pelbagai cara bagi menyelamatkan nyawa bayi tersebut, antaranya:
-
Menyelitkan nota dalam beg susu bayi sebagai amaran kepada ibu bapa.
-
Menghantar mesej atau membuat panggilan terus kepada ibu bapa mangsa.
-
Membuat laporan segera kepada JKM melalui Talian Kasih 15999.
Jangan biarkan diri menjadi saksi bisu kepada sebuah tragedi pembunuhan.
Reformasi Sistem Sokongan Ibu Bekerja
Tragedi ini turut mencerminkan kegagalan sistemik dalam menyokong ibu bekerja di Malaysia. Peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga buruh yang mencecah 56.6 peratus menuntut ketersediaan sistem asuhan yang bukan sahaja mampu milik, tetapi yang lebih penting, selamat.
Sudah tiba masanya kerajaan dan majikan lebih serius dalam menjaga kebajikan ibu bekerja. Tempoh cuti bersalin selama 98 hari yang diperuntukkan melalui Akta Kerja (Pindaan) 2022 sering dianggap terlalu singkat, sekali gus memaksa ibu menyerahkan bayi yang masih kecil sepenuhnya kepada orang lain ketika fasa penyusuan eksklusif masih kritikal.
Budaya cuti bersalin selama enam bulan wajar dipertimbangkan secara serius.
Cadangan struktur cuti bersalin yang lebih berperikemanusiaan termasuk:
-
Tiga bulan pertama: Cuti bergaji penuh bagi pemulihan fizikal dan penyusuan eksklusif.
-
Tiga bulan berikutnya: Pilihan cuti separuh gaji atau bekerja dari rumah (WFH) bagi memastikan peralihan penjagaan bayi berlaku secara beransur-ansur dan selamat.
Cukuplah air mata ini mengalir. Jangan biarkan lagi bayi pergi ke syurga dalam keadaan ketakutan dan kesakitan.
Reformasi sistem sokongan ibu bekerja serta penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas merupakan langkah penting bagi memastikan tiada lagi nyawa kecil terkorban.
Marilah kita mengembalikan “jiwa” dalam tugas mengasuh supaya tanah air ini benar-benar menjadi tempat yang selamat bagi anak-anak membesar dengan kasih sayang, bukannya menjadi saksi kepada pengkhianatan amanah suci ini.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Wawarah Saidpudin
Pensyarah Program Komunikasi (Penyiaran),
Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor (UIS)