MELAKA, 14 Oktober – Skuad kebangsaan Uruguay meneruskan momentum cemerlang apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam siri aksi Persahabatan Antarabangsa selepas menewaskan Uzbekistan 2-1 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
- Facundo Torres buka jaringan pada minit ke-51 untuk beri Uruguay kelebihan awal.
- Juan Manuel Sanabria tambah gol kedua pada minit ke-60, kukuhkan kedudukan pasukan.
- Uzbekistan hanya mampu mencetak gol saguhati; keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat.
Perlawanan sengit itu menyaksikan pasukan bimbingan Marcelo Bielsa membuka tirai jaringan menerusi Facundo Torres pada minit ke-51, sebelum Juan Manuel Sanabria menambah gol kedua sembilan minit kemudian.
Namun, kelebihan dua gol itu tidak kekal lama apabila pemain Uzbekistan, Jiyanov Ruslanbek, berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-82.
Bagaimanapun, usaha pasukan lawan mencari gol penyamaan tidak berhasil, dengan keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat.
Kemenangan itu melengkapkan siri jelajah Uruguay di Malaysia selepas menewaskan Republik Dominica 1-0 dalam aksi persahabatan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat lalu.