
SHAH ALAM, 27 Ogos – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyasarkan untuk mempertahankan gelaran Johan Keseluruhan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2026, meskipun berdepan beberapa cabaran pada edisi kali ini.
- Majlis penyerahan bendera kontinjen UiTM berlangsung di Kompleks Sukan UiTM, Shah Alam, disertai pimpinan universiti dan pengurusan sukan.
- Kontinjen menghantar 510 atlet bertanding dalam 30 acara sukan pada SUKIPT 2026.
- Anggaran pungutan pingat: 39 emas, 19 perak dan tujuh gangsa.
- Futsal wanita, sofbol wanita dan kayak tidak dipertandingkan; pingat ragbi wanita tidak diambil kira, menjejaskan strategi kontinjen.
Keyakinan itu disuarakan pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UiTM ke SUKIPT 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan UiTM, Shah Alam, hari ini.
Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr Mohd Sazili Sahibi berkata sasaran berkenaan munasabah berdasarkan semangat dan keyakinan tinggi yang ditunjukkan barisan atlet.
“Ini adalah sasaran yang munasabah untuk kita capai. Dengan semangat yang berkobar-kobar ditunjukkan atlet ini, saya yakin kita tidak ada halangan untuk capai apa yang kita sasarkan,” katanya kepada media selepas menyempurnakan penyerahan bendera kepada kontinjen UiTM, dengan diiringi Pengarah Pusat Sukan UiTM, Ahmad Tarmizy Mohamed.
SUKIPT 2026 yang berlangsung di Universiti Malaya dari 28 Ogos hingga 6 September ini mempertandingkan 30 acara, dengan UiTM menghantar seramai 510 atlet.
Kontinjen berkenaan menyasarkan pungutan 39 pingat emas, 19 perak dan tujuh gangsa bagi meneruskan penguasaan serta mempertahankan kejuaraan keseluruhan.
Bagaimanapun, misi mempertahankan takhta kali ini berdepan cabaran apabila futsal wanita, sofbol wanita dan kayak tidak dipertandingkan.
Acara ragbi wanita pula kekal dipertandingkan, namun pungutan pingat bagi acara itu tidak diambil kira dalam penentuan kedudukan keseluruhan.
Selain aspek pertandingan, faktor logistik turut menjadi perhatian apabila penginapan yang disediakan pihak tuan rumah tidak berdekatan dengan venue pertandingan.
Situasi itu menuntut pengurusan masa dan pergerakan kontinjen yang lebih rapi bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta perjalanan jauh menjejaskan fokus dan persediaan atlet.
Dalam pada itu, pengalaman atlet UiTM yang baru sahaja beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 diyakini mampu menjadi kelebihan kepada kontinjen.
Pengalaman beraksi di pentas kompetitif dengan persaingan berintensiti tinggi dijangka membantu memperkukuh prestasi pasukan dalam usaha mencapai sasaran yang ditetapkan.
UiTM bagaimanapun kekal optimis dan bersedia memberikan saingan terbaik dalam misi mempertahankan kejuaraan keseluruhan SUKIPT 2026.