GP Bahrain platform pamer keupayaan Malaysia

Foto Bernama

PETALING JAYA, 27 Ogos – Malaysia perlu memanfaatkan sepenuhnya perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix Bahrain Gulf Air di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi mempamerkan kestabilan negara, kedudukannya di persada antarabangsa serta keupayaan menganjurkan acara bertaraf dunia dalam tempoh singkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tengku Amir Shah: keupayaan Malaysia membantu masyarakat antarabangsa mencerminkan peranan negara dalam ASEAN dan semangat kerjasama.
  • Peluang perlumbaan memberi platform mempamerkan keupayaan, nilai negara dan mengukuhkan kedudukan sebagai tuan rumah acara antarabangsa.
  • Baginda mengutarakan pandangan itu semasa program NADI sebelum merasmikan acara berkaitan kecergasan dan sukan.
  • Beliau berharap kerajaan manfaatkan perhatian antarabangsa untuk mempromosi produk pelancongan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Raja Muda Selangor (RMS) Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata keupayaan Malaysia untuk tampil membantu apabila masyarakat antarabangsa memerlukan sokongan dan kestabilan turut mencerminkan peranan negara dalam ASEAN yang aman serta mengamalkan semangat kerjasama.

Baginda berkata peluang itu melangkaui sukan permotoran semata-mata kerana ia menyediakan platform kepada Malaysia untuk memperlihatkan keupayaan dan nilai yang dipegang negara kepada dunia, di samping mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi penganjuran acara antarabangsa utama.

Baginda berkata demikian ketika menjawab soalan moderator pada program NADI Connecting Wellness, Fitness and Sports With RMS sebelum berkenan merasmikan acara itu di sini hari ini.

Tengku Amir Shah turut berharap kerajaan dapat memanfaatkan sepenuhnya perhatian antarabangsa terhadap perlumbaan itu bagi mempromosikan produk pelancongan negara, khususnya bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM2026).

Formula 1 (F1) dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) sebelum ini mengumumkan Grand Prix Bahrain Gulf Air 2026 akan berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Okt ini menerusi kerjasama antara Malaysia dan Bahrain.

GP Bahrain pada asalnya dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Bahrain pada April, namun ditangguhkan ke Oktober susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

SIC menjadi tuan rumah GP Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1 susulan peningkatan kos penganjuran dan fi pelesenan.

Terdahulu, program hari ini menghimpunkan 50 pemimpin dalam bidang kesejahteraan, kecergasan dan sukan bersama Tengku Amir Shah bagi menghubungkan pandangan, mengukuhkan komuniti serta membina hala tuju bersama bagi sektor berkenaan.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.