
PARIS, 7 Ogos – Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) kekal dengan pendirian untuk memboikot Piala Dunia lelaki dan wanita meskipun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menarik balik rancangan membuka ruang kepada pelaburan swasta dalam kejohanan berkenaan.
- UEFA berkata hanya syarat pertama dipenuhi; syarat kedua mengenai jaminan belum dilaksanakan.
- UEFA menyifatkan pelan itu sebagai tidak telus dan dibuat secara tertutup, menuntut jaminan agar ia tidak berulang.
- UEFA masih hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden FIFA, Infantino dan pendirian mereka kekal.
Ancaman awal UEFA yang dikeluarkan pada Khamis lepas untuk memulaukan kejohanan anjuran FIFA dilihat memainkan peranan penting sehingga cadangan itu akhirnya dibatalkan.
Bagaimanapun, menurut UEFA, hanya syarat pertama dipenuhi iaitu membatalkan cadangan berkenaan, manakala syarat kedua masih belum dilaksanakan.
“UEFA telah membuat keputusan amat jelas mengenai syarat yang ditetapkan bagi menarik balik ancaman untuk tidak mengambil bahagian dalam pertandingan FIFA.
“Pertama, cadangan menjual hak komersial kejohanan utama perlu ditarik balik dan kedua, jaminan perlu diberikan bahawa cubaan mengubah suai permainan dengan cara sedemikian tidak akan berulang lagi.
“Namun, syarat tersebut belum dipenuhi sepenuhnya,” menurut kenyataan UEFA.
Sebelum ini, UEFA menegaskan pendirian bahawa mereka masih tidak mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan Presiden FIFA, Gianni Infantino walaupun cadangan penstrukturan semula komersial FIFA telah ditarik balik.
Dalam kenyataan terbaharu, UEFA menyifatkan pelan tersebut sebagai satu perjanjian yang tidak telus dan dibuat secara tertutup, sambil menegaskan bahawa penarikan balik cadangan itu tidak mengubah pendirian mereka terhadap Infantino.
“UEFA masih hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Infantino, dan pendirian itu kekal seperti yang dinyatakan pada Sabtu lalu,” menurut kenyataan itu lagi. – AFP