
KUALA NERUS, 10 Julai – Pasukan Terengganu FC (TFC) yang berpangkalan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, dekat sini akan tampil dengan skuad lengkap sebelum pertengahan Julai ini.
- Mohd Nafuzi sedang memuktamadkan senarai pemain, termasuk import untuk serangan, tengah dan pertahanan.
- Tiga import sedia ada ialah Garvene Kastaneer, Ehson Panjshanbe dan Shervoni Matshoev dengan kontrak hingga hujung tahun.
- Nafuzi kembali untuk cabaran meningkatkan reputasi TFC; akui tugas lebih sukar dan mahu perbaiki pasukan.
Ketua jurulatih Mohd Nafuzi Zain berkata skuad Penyu kini dalam peringkat akhir memuktamadkan senarai pemain termasuk beberapa import di posisi serangan, tengah dan pertahanan.
Mohd Nafuzi yang dilantik mengemudi pasukan hitam putih pada 30 Jun lepas itu berkata ketika ini, skuad Penyu masih mempunyai tiga pemain import, iaitu Garvene Kastaneer, Ehson Panjshanbe dan Shervoni Matshoev yang masih berbaki kontrak hingga hujung tahun ini.
“Kami baru sahaja memulakan latihan tiga hari lepas. Pemain tempatan ramai juga yang dikekalkan daripada skuad musim lepas dan sudah hadir secara berperingkat untuk latihan.
“Bagi pemain import, kita masih perlukan tiga atau empat tonggak di bahagian serangan, tengah dan pertahanan. Kita sudah kenal pasti. Ada yang baharu dan ada juga yang pernah beraksi bersama TFC pada musim-musim sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di SSMZA, baru-baru ini.
Ketika ditanya tentang faktor yang mendorong beliau untuk kembali mengemudi TFC setelah meninggalkan pasukan itu pada 2022, Nafuzi mengakui keputusan berkenaan diambil sebagai cabaran untuk menaikkan kembali reputasi TFC dalam arena bola sepak tempatan.
Bagaimanapun, bekas jurulatih skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) itu mengakui cabaran kali ini lebih berat dan sukar untuk membina skuad yang mampu bersaing secara konsisten.
“Kepulangan saya kali ini untuk mencabar kebolehan diri sendiri. Pasukan yang ada sekarang sebenarnya sudah baik, cuma saya harap dapat tingkatkan dan tambah baik apa-apa yang perlu untuk hadapi saingan musim ini.
“Walaupun pernah membimbing TFC selama tiga musim sebelum ini, cabarannya tidak sama. Pasukan lain juga sudah mula mengatur langkah tersendiri dan pasti lebih mantap berbanding sebelumnya,” katanya.
– BERNAMA