TFC berkampung di Thailand hadapi perlawanan pra musim

Mohd Nafuzi Mohd Zain. Foto/Bernama

KUALA NERUS, 26 Julai – Terengganu FC (TFC) akan berkampung selama 10 hari di Bangkok, Thailand sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2026/2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • TFC akan berdepan empat perlawanan pra musim menentang kelab dari Vietnam, Hong Kong dan Thailand.
  • Pertandingan persahabatan penting untuk membina keserasian pemain dan memantapkan aspek taktikal pasukan.
  • Jadual pra musim: Hanoi FC 31 Julai, Taipo FC 2 Ogos, Prime Bangkok 3 Ogos, PT Prachuap 6 Ogos, di Yamaoka Hasanaka Academy.
  • Skuad kini ada 25 pemain; beberapa pemain lagi dijangka tiba minggu ini untuk melengkapkan senarai dan memperbaiki prestasi musim lalu.

Ketua jurulatihnya, Mohd Nafuzi Mohd Zain berkata, sepanjang tempoh itu, skuad Penyu akan berdepan empat perlawanan pra musim menentang kelab dari Vietnam, Hong Kong dan Thailand.

Pengendali berusia 48 tahun itu menegaskan, perlawanan persahabatan tersebut penting untuk membina keserasian antara pemain, selain memantapkan aspek taktikal pasukan sebelum menghadapi perlawanan sulung Liga Super pada 22 Ogos depan.

“Untuk perlawanan pembukaan kita akan bertemu pasukan Hanoi FC (Vietnam) pada 31 Julai, diikuti Taipo FC (Hong Kong) pada 2 Ogos dan Prime Bangkok FC (Thailand) pada 3 Ogos.

“Manakala aksi terakhir atau penutup perlawanan TFC bakal berdepan kelab Liga Divisyen 1 Thailand, iaitu PT Prachuap FC pada 6 Ogos. Kesemua perlawanan akan berlangsung di Yamaoka Hasanaka Academy,” katanya.

Dalam perkembangan lain, bekas jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara itu memaklumkan, skuad Penyu masih menunggu kehadiran beberapa pemain untuk melengkapkan skuad musim ini.

“Setakat ini kita dah ada 25 senarai pemain termasuk lama dan baharu. Kita masih menunggu beberapa pemain lagi dalam minggu ini untuk melengkap atau membina skuad penuh.

“Setakat ini persiapan berjalan lancar dan kita harap dapat TFC dapat memberi saingan sengit kepada pasukan lain, sekali gus memperbaiki kedudukan berbanding musim lalu,” katanya. – Bernama

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.