
KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Atlet jiu-jitsu negara, Adam Akasyah bertekad memberikan tentangan sengit pada penampilan sulungnya di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bulan depan.
- Latihan diubah tumpu 100% kepada taktikal; sparring dipendekkan dari lima hingga sepuluh minit kepada sekitar satu minit.
- Kecergasan kardio dan pengurusan taktikal penting untuk hadapi golden score; kadangkala strategi bawa pertarungan ke golden score.
- Bakal berdepan lawan dari Jepun dan Asia Tengah yang pernah ditemui, memberi kelebihan memahami corak permainan serta kekuatan dan kelemahan.
- Jurulatih percaya Adam meningkat dalam serangan dan taktikal; fokus kepada serangan golden score pantas serta memperkemas cengkaman.
Adam, satu-satunya wakil negara dalam sukan itu berkata hasrat berkenaan mahu direalisasikan selepas berhempas-pulas memperkemas teknik yang dianggapnya sebagai senjata utama untuk menewaskan lawan, sekali gus membuka ruang sekurang-kurangnya melangkah ke suku akhir.
“Kita ubah jenis latihan yang dilakukan dan cuba memperkemas taktikal selepas Kejohanan Asia sebelum ini. Fokus memang sudah berubah 100 peratus kepada taktikal berbanding latihan sparring lima hingga 10 minit sebelum ini kepada hanya satu minit lebih,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) Mohamad Azlan Iskandar di sini hari ini.
Menurut Adam, undang-undang pertandingan jiu-jitsu turut menuntut atlet mempunyai tahap kecergasan kardiovaskular yang baik kerana kelebihan fizikal dan mental boleh menjadi penentu apabila pertarungan berlanjutan ke golden score.
“Ia (kelebihan) memihak kepada atlet yang mempunyai kondisi dan kardio yang baik serta bijak mengatur permainan kerana apabila pertarungan memasuki golden score, peluang untuk menang lebih tinggi. Kadang-kadang kita mahu membawa pertarungan ke golden score untuk menewaskan atlet yang lebih baik,” katanya.
Atlet berusia 26 tahun itu berkata pada masa sama, beliau bersedia sepenuhnya untuk menggegar Aichi-Nagoya selepas mendapati kebanyakan lawan bakal ditemui merupakan pencabar sama yang pernah dihadapinya pada Kejohanan Asia di Kazakhstan Julai lepas.
“Lawan yang saya akan jumpa nanti ada dari Jepun serta Asia Tengah yang kebanyakannya sudah pernah saya jumpa, jadi insya-Allah saya cuba dapat keputusan yang baik,” katanya.
Beliau berkata pengalaman berdepan atlet sama sebelum ini memberikan gambaran mengenai corak permainan serta kekuatan dan kelemahan lawan yang bakal dihadapi.
Sementara itu, jurulatih, Tee Lip Jin percaya Adam mampu menyerlah dalam temasya berkenaan selepas menunjukkan peningkatan dalam aspek serangan dan taktikal.
“Sekarang kita akan cuba perbaiki serangan golden score dia. Serangan perlu dilakukan dengan pantas untuk mendapatkan kelebihan, selain memperkemas aspek cengkaman.
“Sebelum ini pun dia memang tidak pernah kalah dengan keputusan yang teruk dalam perlawanan. Jadi kita tahu dia mampu bersaing dan sekarang kita cuba tingkatkan lagi keupayaannya untuk Sukan Asia,” katanya. – BERNAMA