
REMBAU, 17 Ogos – Bubbles O2 membaharui kerjasama strategiknya bersama dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi peranannya sebagai rakan air mineral beroksigen semula jadi eksklusif bagi tempoh tiga musim seterusnya, dengan nilai penajaan keseluruhan RM3.3 juta yang merangkumi sumbangan tunai dan barangan.
- Pembaharuan perjanjian mencerminkan keyakinan dan komitmen jangka panjang untuk memperkukuh pembangunan bola sepak profesional Malaysia.
- Bubbles O2 memperluas kapasiti operasi; tenaga kerja, pengeluaran dan rangkaian pengedaran diperkukuh untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang.
- Syarikat akan terus membekal air mineral beroksigen premium kepada semua perlawanan MFL, memastikan hidrasi terbaik bagi pemain dan pegawai.
Pengerusi Eksekutif Bubbles O2 Datuk Arifin Marzuki berkata penajaan berkenaan melibatkan musim Liga Malaysia 2026-2027 hingga 2028-2029 yang menandakan kesinambungan kerjasama antara kedua-dua pihak bermula sejak 2023.
Beliau berkata selepas tiga musim bekerjasama, pembaharuan perjanjian ini mencerminkan keyakinan serta komitmen jangka panjang dalam memperkukuh pembangunan bola sepak profesional Malaysia.
“Kerjasama bersama MFL bukan sekadar meletakkan logo Bubbles O2 di stadium atau platform Liga Malaysia, sebaliknya menyokong pembangunan bola sepak negara, menghargai individu di sebalik kejayaan sukan ini serta menyumbang kepada pembinaan ekosistem sukan lebih mampan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Penajaan antara Bubble O2 dengan MFL di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan, Ketua Pengawai Eksekutif Bubbles O2 Abdul Aziz Arifin dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL Mohd Shazli Shaik Mohd.
Abdul Aziz turut berkongsi perkembangan Bubbles O2 sepanjang tempoh kerjasama itu, termasuk peningkatan jumlah petugas daripada lebih 100 kepada lebih 250 orang, selain memperkukuh keupayaan pengeluaran, memperluas rangkaian pengedaran di seluruh negara dan membina ekosistem perniagaan bersepadu bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.
“Perjalanan Bubbles O2 sepanjang tiga tahun lepas, syarikat ini dan MFL berkembang bersama, mencipta nilai positif, kompetitif dan terus percaya bahawa kerjasama strategik seperti ini mampu memberikan impak yang lebih besar kepada pembangunan bola sepak negara,” katanya.
Sementara itu, Ab Ghani berkata pembaharuan kerjasama ini mengukuhkan lagi kedudukan Bubbles O2 sebagai antara penyokong korporat utama pembangunan sukan negara, selaras dengan aspirasi untuk terus menyumbang kepada kemajuan bola sepak Malaysia.
Beliau berkata Bubbles O2 akan terus membekalkan air mineral beroksigen semula jadi premium kepada semua pertandingan di bawah kelolaan MFL bagi memastikan pemain serta pegawai perlawanan mendapat hidrasi terbaik sepanjang musim.
“Hari ini, apabila peminat bola sepak menyebut Bubbles O2, ramai yang terus mengaitkannya dengan Liga Malaysia. Itulah kekuatan kerjasama strategik ini, apabila kedua-dua organisasi berkembang bersama dan saling memperkukuh jenama masing-masing,” katanya. – BERNAMA