
NILAI, 10 Jun – Pelumba Johor, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, menampilkan kayuhan bertenaga untuk menewaskan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, sekali gus merangkul pingat emas acara keirin elit lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2026 di Velodrom Nasional, hari ini.
- Muhammad Shah Firdaus mempertahankan kedudukan meskipun diasak hebat pada saat akhir perlumbaan.
- Beliau menamatkan penantian empat tahun untuk kembali bergelar juara kebangsaan sejak edisi 2022.
- Mohd Azizulhasni mengucapkan tahniah dan menyifatkan kejayaan itu petanda positif menjelang Komanwel serta Sukan Asia 2026.
- Nurul Izzah Izzati Mohd Asri raih emas keirin wanita; Nur Alyssa perak, Anis Amira gangsa.
Muhammad Shah Firdaus berjaya mempertahankan kedudukan di hadapan meskipun diasak hebat oleh Mohd Azizulhasni pada saat akhir perlumbaan.
Pelumba berusia 30 tahun itu melintasi garisan penamat terlebih dahulu untuk menamatkan penantian empat tahun bagi kembali bergelar juara kebangsaan selepas kali terakhir memenangi acara tersebut pada edisi 2022.
Mohd Azizulhasni yang mewakili Team Azizul meraih pingat perak, manakala gangsa menjadi milik pelumba Selangor, Muhammad Fadhil Mohd Zonis.
Muhammad Shah Firdaus berkata strategi mengekalkan kelajuan pada dua pusingan awal sebelum melakukan pecutan maksimum ketika loceng terakhir berbunyi membuahkan hasil.
“Dua pusingan pertama saya kekalkan kelajuan dahulu, namun apabila loceng berbunyi saya memecut sepenuhnya. Alhamdulillah saya berjaya raih nombor satu,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan.
Sementara itu, Mohd Azizulhasni mengakui keunggulan Muhammad Shah Firdaus dalam perlumbaan tersebut walaupun telah memberikan saingan sengit pada penghujung perlumbaan.
Pemenang pingat perak acara keirin lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu turut mengucapkan tahniah kepada Muhammad Shah Firdaus dan menyifatkan kejayaan tersebut sebagai petanda positif menjelang dua kejohanan utama tahun ini.
Beliau berkata prestasi ditunjukkan pelumba Johor itu membuktikan dirinya kembali berada pada tahap terbaik menjelang Sukan Komanwel 2026 di Glasgow dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.
Sukan Komanwel 2026 dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos, manakala Sukan Asia 2026 akan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober.
Dalam acara keirin elit wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri membuktikan statusnya sebagai antara pelumba terbaik negara apabila menghadiahkan pingat emas buat Kedah.
Nurul Izzah menewaskan Nur Alyssa Mohd Farid dari Johor yang meraih perak, manakala gangsa dimenangi pelumba Team Cahya Mata, Anis Amira Rosidi.
Beliau yang berpuas hati dengan pencapaian tersebut berharap dapat meneruskan momentum kemenangan dalam acara pecut yang akan berlangsung esok.
Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2026 yang bermula semalam akan melabuhkan tirainya pada Jumaat ini.