Senegal fail rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan

Pasukan Senegal ketika meraikan kejayaan menjuarai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2026 / REUTERS

LAUSANNE, 26 Mac – Persekutuan Bola Sepak Senegal (FSF) secara rasmi telah memfailkan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Rabu bagi mencabar keputusan melucutkan gelaran juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) yang dimenangi mereka sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • CAF membatalkan kemenangan Senegal dan memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada Maghribi.
  • Senegal keluar padang protes penalti semasa final; kembali selepas 14 minit dan menang 1-0 di padang.
  • Kerajaan Senegal mendesak siasatan menyeluruh, menganggap keputusan CAF tidak adil.
  • CAS mengesahkan panel timbang tara akan dilantik; peguam FSF dijangka adakan sidang media di Paris.

Tindakan itu susulan keputusan Lembaga Rayuan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) minggu lalu yang membatalkan kemenangan Senegal dan memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada Maghribi.

Dalam satu kenyataan, CAS mengesahkan bahawa FSF menuntut agar keputusan CAF tersebut diketepikan dan mahu badan induk itu mengisytiharkan semula Senegal sebagai juara sah kejohanan berkenaan.

“Rayuan FSF bertujuan untuk membatalkan keputusan CAF dan mengisytiharkan FSF sebagai juara AFCON. Ia juga memohon penggantungan segera tempoh penyerahan ringkasan rayuan sehingga alasan penuh keputusan CAF dimaklumkan,” kata kenyataan CAS itu.

Kemelut itu bermula semasa perlawanan akhir di Rabat pada 18 Januari lalu apabila skuad Senegal bertindak keluar padang sebagai tanda protes terhadap keputusan pengadil yang memberikan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah, Maghribi.

Meskipun pemain Senegal kembali ke padang selepas 14 minit dan berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 1-0, CAF memutuskan bahawa tindakan tersebut menyebabkan mereka dianggap kalah secara teknikal.

Susulan tindakan itu, kerajaan Senegal sebelum ini telah mendesak agar satu siasatan menyeluruh dijalankan kerana menganggap keputusan tersebut tidak adil.

CAS memaklumkan satu panel timbang tara akan dilantik bagi meneliti kes ini sebelum kalendar prosedur ditetapkan untuk perbicaraan lanjut.

Sementara itu, barisan peguam yang mewakili FSF dijadualkan akan mengadakan sidang media khas di Paris hari ini bagi mengulas mengenai perkembangan terkini kes berkenaan.-REUTERS