Selangor FC cadang tiga langkah perkukuh tadbir urus Liga-M

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon./foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 April – Selangor FC mencadangkan penubuhan badan pengadil profesional sebagai antara tiga langkah utama bagi meningkatkan kualiti pengadilan dan memperkukuh tadbir urus Liga Malaysia (Liga-M).

RINGKASAN BERITA AI
  • Rakan Kongsi Liga dicadangkan mendapat majoriti kerusi lembaga MFL, contohnya enam daripada 10 kerusi.
  • Sediakan ruang rujukan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) untuk meningkatkan akauntabiliti dan keyakinan pelabur.
  • Perbincangan meja bulat MFL wujudkan platform rasmi bagi isu tadbir urus, kewangan dan hala tuju liga.
  • Isu berulang termasuk kelewatan pembayaran gaji pemain dan pegawai serta peningkatan kos operasi menekan pasukan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Johan Kamal Hamidon berkata cadangan itu dilihat penting dalam usaha memperkasa integriti pertandingan serta meningkatkan keyakinan terhadap sistem pengadilan liga.

Menurut beliau, penubuhan badan pengadil profesional yang bebas ini boleh menjadikan Liga-M sebagai satu penanda aras yang baik di peringkat ASEAN.

“Kedua ialah cadangan supaya Rakan Kongsi Liga Malaysia sebagai pemegang taruh terbesar dalam Liga Malaysia diberi lebih perwakilan dalam lembaga pengarah MFL (Liga Bolasepak Malaysia).

“Ketika ini Rakan Kongsi Liga hanya mempunyai tiga wakil dalam board (lembaga) dianggotai 10 orang. Jadi, saya rasa penting untuk mempunyai sekurang-kurangnya majoriti kerusi, contohnya enam daripada 10 kerusi,” katanya kepada pemberita selepas perbincangan meja bulat MFL bersama wakil kelab Liga-M di sini, semalam.

Sementara itu, Dr. Johan Kamal berkata cadangan ketiga ialah mewujudkan ruang rujukan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) agar dapat membantu meningkatkan tahap akauntabiliti dalam pengurusan liga, selain memberi keyakinan tambahan kepada pelabur dan penaja.

Perbincangan meja bulat MFL bersama wakil kelab Liga-M itu diadakan susulan gesaan beberapa kelab supaya satu platform rasmi diwujudkan untuk membincangkan isu kritikal termasuk tadbir urus, kewangan serta hala tuju liga yang berdepan pelbagai cabaran ketika ini.

Antara isu berulang sering dibangkitkan ialah kelewatan pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan oleh beberapa kelab, selain peningkatan kos operasi yang semakin menekan kebanyakan pasukan. – BERNAMA