
KUALA LUMPUR, 18 Jun – Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mahu pemain negara mengubah mentaliti mereka dengan tidak lagi terlalu fokus terhadap ranking dunia, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha menjadi juara.
- Rombakan beregu lelaki sebahagian perancangan jangka panjang untuk jadi lebih kompetitif menjelang Olimpik Los Angeles 2028.
- Sasaran utama kini bukan sekadar pingat tetapi memburu pingat emas pertama negara di Los Angeles 2028.
- Tegas agar pemain hentikan alasan ranking, hadir ke kejohanan dengan hasrat untuk muncul juara dan tunjukkan kemampuan bertaraf dunia.
- Kekecewaan terhadap pemain pelapis; rombakan diharap melahirkan lebih banyak pasangan elit sebelum proses kelayakan bermula.
Menurut beliau, rombakan dalam skuad beregu lelaki yang dilakukan ketika ini bukan sekadar pertukaran pasangan, tetapi sebahagian daripada perancangan jangka panjang bagi membentuk pasukan lebih kompetitif menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Rexy berkata sasaran utama Malaysia di pentas Olimpik bukan lagi sekadar meraih pingat, sebaliknya memburu pingat emas pertama negara.
“Kita perlu ubah mentaliti pemain bahawa misi ke Olimpik bukan sekadar nak bawa pulang pingat, tapi kita mahu memenangi pingat emas. Malaysia sudah pernah memenangi pingat perak, namun emas masih belum berjaya diraih. Sebab itu, sasaran dan mentaliti pemain perlu menjurus ke arah menjadi juara,” katanya.
Dalam pada itu, Rexy turut meluahkan kekecewaan dengan prestasi sebahagian pemain pelapis yang masih gagal menunjukkan peningkatan memberangsangkan walaupun telah diberikan peluang beraksi di pelbagai kejohanan antarabangsa.
Beliau menegaskan pemain tidak seharusnya menjadikan ranking dunia atau peluang menyertai kejohanan sebagai alasan, sebaliknya perlu membuktikan kemampuan mereka untuk bersaing sebagai pemain bertaraf dunia.
“Jangan asyik bercakap tentang ranking. Setiap kali menyertai kejohanan, pemain perlu hadir dengan hasrat untuk muncul juara. Jika hanya mengejar ranking, pelbagai alasan akan timbul. Dalam latihan juga, pemain perlu mempunyai tanggungjawab dan keinginan yang tinggi untuk berjaya,” katanya lagi.
Beliau percaya perubahan mentaliti perlu diterapkan dari sekarang memandangkan masih ada masa untuk membentuk gandingan terbaik sebelum proses kelayakan Olimpik bermula.
Rexy berharap rombakan yang dilakukan dalam skuad beregu lelaki mampu melahirkan lebih ramai pasangan elit negara sekali gus memperkukuhkan peluang Malaysia untuk memburu pingat emas sulung di Los Angeles 2028.