Piala Perancis: Lens selangkah julang kejuaraan sulung, benam Toulouse

FOTO AFP

LENS, 22 April -Lens menghidupkan impian untuk menjulang Piala Perancis buat julung kali dalam sejarah kelab selepas mencatatkan kemenangan bergaya 4-1 ke atas Toulouse pada aksi separuh akhir pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menanti pemenang Strasbourg atau Nice untuk aksi akhir pada 22 Mei.
  • Dalam 120 tahun, Lens belum pernah menangi Piala Perancis; hanya tiga kali naib juara.
  • Gol: Thauvin penalti selepas dikasari Pape Demba Diop; Saint-Maximin dari luar kotak; Hidalgo, Udol dan Thomasson turut mencetak.
  • Penonton menyerbu padang meraikan tempat final pertama sejak 1998; jurulatih Pierre Sage tekadkan kemenangan mutlak.

Skuad bimbingan Pierre Sage itu kini menanti pemenang antara Strasbourg atau Nice untuk aksi akhir yang dijadualkan berlangsung pada 22 Mei depan.

Sepanjang 120 tahun penubuhannya, Lens belum pernah memenangi trofi berkenaan dan sekadar berpuas hati bergelar naib juara sebanyak tiga kali.

Dalam aksi di Stade Bollaert-Delelis yang dibanjiri penyokong setia, Florian Thauvin membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti awal selepas beliau dijatuhkan oleh Pape Demba Diop di dalam kotak penalti.

Tuan rumah terus selesa apabila Allan Saint-Maximin meledak gol kedua menerusi rembatan dari luar kotak penalti. Bagaimanapun, Toulouse cuba bangkit merapatkan jurang menerusi Santiago Hidalgo hasil kesilapan benteng pertahanan Lens.

Lens kembali melebarkan jurang apabila Matthieu Udol menyempurnakan peluang jarak dekat sebelum Adrien Thomasson melengkapkan malam gemilang tuan rumah dengan gol keempat pada babak kedua.

Kemenangan itu mencetuskan suasana luar biasa apabila penyokong mula menyerbu masuk ke dalam padang selepas tamat perlawanan bagi meraikan kejayaan pasukan mara ke perlawanan akhir buat pertama kali sejak 1998.

“Fikiran saya sudah pun tertumpu kepada perlawanan akhir kerana sekadar layak tanpa memenangi piala bukanlah ganjaran yang sewajarnya buat semua pihak,” kata Sage.

“Perjalanan kami setakat ini sangat baik, tetapi saya mahu melihat ia berakhir dengan kejayaan mutlak. Semua orang di sini berhak mengecapinya.” – AFP