Piala Dunia: Skuad regu perlu bangkit acara berpasukan

Pasukan Sepak Takraw Kebangsaan semasa beraksi menentang pasukan Myanmar pada perlawanan separuh akhir acara regu bersempena Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 / foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Kekalahan skuad regu negara pada saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 perlu dijadikan pengajaran penting buat pemain untuk bangkit lebih kuat, dalam acara berpasukan yang membuka tirai petang ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurulatih anggap kegagalan ada hikmah; pemain harus tidak berpuas hati dan bersiap dari awal.
  • Skuad tebus kekecewaan dengan juara acara kuadran, menewaskan India 2-0 pada aksi akhir.
  • Aspek taktikal terutama sistem hadangan perlu diperkemaskan.
  • Untuk acara berpasukan, perlu gandakan usaha menentang pencabar utama India dan Myanmar dalam peringkat kumpulan.

Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun, berkata kegagalan itu hadir dengan hikmah tersendiri dan perlu menjadi peringatan kepada pemain agar tidak terlalu selesa dengan pencapaian sebelum ini.

“Bagi saya apa yang berlaku ada hikmah di sebalik kegagalan pasukan regu kita dan ini memberikan petanda bahawa pemain-pemain perlu bersiap sedia daripada peringkat awal, supaya kita dapat mempamerkan prestasi yang lebih konsisten,” katanya kepada pemberita selepas aksi final acara kuadran semalam.

Terdahulu, skuad regu negara dikejutkan Myanmar 0-2, pada aksi separuh akhir acara regu Piala Dunia 2026, sekali gus melebur impian melihat wakil negara beraksi di perlawanan akhir.

Bagaimanapun skuad negara menebus kekecewaan itu apabila muncul juara acara kuadran menewaskan India 2-0 pada aksi akhir semalam.

Ahmad Jais menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil peningkatan prestasi pemain dari semasa ke semasa selain kemampuan mereka mengawal tekanan ketika perlawanan berlangsung.

“Kalau tengok dari segi prestasi pemain, banyak peningkatan daripada masa ke semasa berbanding kejohanan-kejohanan terdahulu.

“Pemain-pemain telah berikan prestasi terbaik walaupun berada dalam tekanan dan kita harapkan pemain-pemain akan terus fokus untuk acara berpasukan,” katanya.

Beliau berkata aspek taktikal terutama sistem hadangan, menjadi antara faktor penting kejayaan skuad kuadran negara kali ini, selepas pemain berjaya menyesuaikan diri dengan corak permainan moden yang digunakan pasukan lawan.

“Dari segi taktikal itu perkara penting dan pemain telah mula menguasai, walau bagaimanapun masih ada beberapa elemen yang perlu kita perkemaskan khususnya dari segi hadangan untuk merapatkan tiga badan pemain,” katanya.

Mengulas cabaran dalam acara berpasukan, Ahmad Jais berkata skuad negara perlu menggandakan usaha apabila bakal berdepan dua pencabar utama iaitu India dan Myanmar pada saingan peringkat kumpulan.

“Pada perlawanan pertama kita akan menentang India dan perlawanan terakhir peringkat kumpulan kita akan menentang Myanmar.

“Kedua-dua pasukan ini merupakan antara pencabar utama bagi acara berpasukan dan kita perlu menggandakan tenaga, usaha serta kesungguhan untuk mencipta kemenangan seterusnya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir,” katanya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama India dan Myanmar bagi acara regu berpasukan.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.