
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengucapkan tahniah kepada pasukan sepak takraw negara atas kejayaan cemerlang muncul juara acara kuadran di Piala Dunia Sepak Takraw.
- Skuad negara memenangi acara kuadran menewaskan India 2-0.
- Aksi dipenuhi semangat, disiplin dan daya juang tinggi.
- Pencapaian mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
- Kejayaan dijadikan penanda aras tinggi serta kebanggaan seluruh rakyat.
Kejayaan bersejarah itu dilakar selepas skuad negara menewaskan India 2-0 dalam aksi yang disifatkan beliau penuh semangat, disiplin serta daya juang tinggi.
Menerusi hantaran di laman media sosial rasminya, Datuk Seri Anwar berkata pencapaian luar biasa itu bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia, malah membuktikan kemampuan atlet tempatan bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan ini membuktikan anak watan memiliki kecekalan, kesatuan tekad, dan kemampuan murni untuk terus bersaing serta mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap kesungguhan yang dipamerkan oleh barisan pemain, sekali gus menyifatkannya sebagai penanda aras tinggi buat sukan negara.
“Syabas wira negara. Semangat juang yang dipamerkan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia,” ujar beliau.