Piala Dunia: Popovic lanjut kontrak bersama Australia

Foto AFP

OAKLAND, 12 Jun – Ketua jurulatih Australia, Tony Popovic, menandatangani lanjutan kontrak baharu menjelang aksi pembukaan Piala Dunia 2026, sekali gus kekal membimbing skuad Socceroos sehingga saingan Piala Asia awal tahun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Popovic catat 10 kemenangan, 4 seri dan 4 kekalahan dari 18 perlawanan sejak dilantik.
  • Skuad sedang berlatih di California menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan D menentang Turkiye di Vancouver.
  • Piala Asia di Arab Saudi, 7 Januari hingga 5 Februari tahun depan, menjadi sasaran seterusnya Socceroos.

Popovic yang dilantik pada 2024 bagi menggantikan Graham Arnold kini berada di landasan positif selepas mencatat 10 kemenangan, empat keputusan seri dan empat kekalahan daripada 18 perlawanan kendaliannya.

Beliau menyifatkan lanjutan kontrak itu sebagai satu penghormatan besar dan peluang untuk terus membangunkan pasukan dalam jangka panjang.

“Saya gembira dapat terus mengendalikan Socceroos hingga ke Piala Asia. Sejak mengambil alih pasukan, saya sentiasa memberi tumpuan kepada keseimbangan antara perancangan jangka panjang dan pencapaian jangka pendek, termasuk memastikan kelayakan ke Piala Dunia,” katanya.

Australia kini sedang menjalani persiapan di California menjelang perlawanan pertama Kumpulan D menentang Turkiye di Vancouver pada Sabtu ini.

Piala Asia pula dijadual berlangsung di Arab Saudi dari 7 Januari hingga 5 Februari tahun depan, yang menjadi sasaran seterusnya buat skuad kendalian Popovic.

Ketua Pegawai Eksekutif Football Australia, Martin Kugeler, menyifatkan keputusan melanjutkan kontrak Popovic sebagai langkah tepat bagi memastikan kestabilan pasukan.

Menurutnya, kejelasan mengenai masa depan jurulatih itu membolehkan perancangan jangka panjang dilakukan dengan lebih teratur selepas tamat kempen Piala Dunia.

Australia yang membuat penampilan keenam berturut-turut di pentas Piala Dunia turut diundi bersama tuan rumah bersama Amerika Syarikat dan Paraguay dalam Kumpulan D.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.