Piala Dunia FIFA 2026: Kaoru Mitoma cedera, persiapan Jepun terganggu

Pemain Jepun, Kaoru Mitoma./Foto AFP

BRIGHTON, 13 Mei – Pemain tonggak Jepun, Kaoru Mitoma, mencetuskan kegusaran buat kem negaranya selepas dilaporkan mengalami kecederaan hamstring ketika beraksi bersama Brighton & Hove Albion dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mitoma dikeluarkan pada minit ke-58 selepas dilihat memegang bahagian belakang paha kirinya.
  • Dia berjalan keluar stadium menggunakan tongkat, menimbulkan kebimbangan mengenai tahap kecederaannya.
  • Moriyasu gusar; senarai akhir dijangka diumumkan Jumaat, dan Jepun akan mulakan Piala Dunia menentang Belanda pada 14 Jun.

Dalam saingan yang menyaksikan Brighton membenam Wolverhampton Wanderers 3-0 itu, Mitoma terpaksa dikeluarkan pada minit ke-58.

Pemain itu dilihat memegang bahagian belakang paha kirinya ketika mengejar bola sebelum rebah dan gagal meneruskan perlawanan.

Lebih membimbangkan, pemain lincah itu dilaporkan berjalan meninggalkan stadium dengan menggunakan tongkat.

Situasi tersebut menjadi tamparan hebat buat ketua jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu, yang dijadual mengumumkan senarai akhir skuad Piala Dunia pada Jumaat ini.

Jepun dijadual memulakan kempen Piala Dunia FIFA 2026 menentang Belanda di Arlington, Texas pada 14 Jun.

Selain Belanda, skuad ‘Samurai Biru’ itu turut diundi dalam Kumpulan F bersama-sama Tunisia dan Sweden. – AFP