
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Kesemua 104 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 akan disiarkan menerusi platform Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV.
- Kerjasama strategik bersama tiga syarikat telekomunikasi utama negara memastikan capaian luas kepada penonton.
- Inisiatif membolehkan rakyat menonton kejohanan tanpa kos tambahan.
- Siaran langsung, tertunda dan video atas permintaan boleh disaksikan melalui Unifi TV 2.0 dan RTMKlik.
- Piala Dunia 2026 dihoskan Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dengan format baharu 48 pasukan dalam 12 kumpulan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia hasil kerjasama strategik bersama tiga syarikat telekomunikasi utama negara melibatkan Unifi, CelcomDigi dan U Mobile.
Inisiatif itu memastikan rakyat dapat menikmati kejohanan bola sepak berprestij dunia tersebut tanpa kos tambahan.
“Kesemua 104 perlawanan akan ditayangkan di RTM dan Unifi TV.
“Siaran secara langsung, tertunda serta video atas permintaan juga boleh disaksikan menerusi platform Unifi TV 2.0 dan RTMKlik,” katanya dalam Sidang Media Mingguan di Angkasapuri Kota Media, di sini, hari ini.
Tambahnya, inisiatif berkenaan juga dilihat mampu memperkukuh peranan penyiar awam negara dalam menyediakan kandungan berkualiti tinggi dan mudah diakses oleh seluruh rakyat.
Piala Dunia 2026 dijadual berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dengan format baharu melibatkan 48 pasukan dan 12 kumpulan.