Perlis iktiraf kecemerlangan atlet

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan Majlis Penghargaan Atlet Negeri Perlis Tahun 2025 dan Pelancaran Road To SUKMA & Para SUKMA Ke-22 Selangor 2026 di Auditorium JKKN Perlis./Foto BERNAMA

KANGAR, 13 Mei – Pembangunan sukan Negeri Perlis kini berada pada landasan tepat hasil keberkesanan program akar umbi hingga ke peringkat prestasi tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Strategi pencarian bakat muda dan penganjuran kejohanan sekolah membuahkan hasil, seperti dibuktikan oleh kecemerlangan atlet 2025.
  • Kerajaan Negeri mengumumkan insentif sebanyak RM29,250 sebagai penghargaan dan motivasi kepada atlet berprestasi.
  • Atlet Perlis mencipta kejayaan di Sukan SEA, Sukan Para ASEAN, SOPMA dan MSSM; setiap pingat simbol disiplin serta pengorbanan.

Exco Belia dan Sukan Negeri, Wan Zikri Afthar Ishak menegaskan, rentetan kecemerlangan atlet sepanjang 2025 membuktikan strategi pencarian bakat muda dan penganjuran kejohanan di peringkat sekolah telah membuahkan hasil yang positif.

“Pencapaian ini merupakan manifestasi kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis, Jabatan Pendidikan Negeri serta sokongan tidak berbelah bahagi daripada persatuan sukan, jurulatih dan ibu bapa,” katanya.

Bagi menghargai keringat jaguh negeri, beliau mengumumkan peruntukan insentif berjumlah RM29,250 sebagai tanda pengiktirafan buat atlet yang berjaya mengharumkan nama Perlis.

“Gunakanlah pemberian ini sebagai pembakar semangat. Kita mahu membuktikan bahawa setiap kejayaan anak Perlis akan sentiasa disulami dengan penghargaan yang sewajarnya,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Atlet Negeri Perlis Tahun 2025 serta Pelancaran Road To SUKMA dan Para SUKMA Ke-22 Selangor 2026.

Majlis tersebut diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Mengulas lanjut, Wan Zikri berkata, setiap pingat yang diraih bukan sekadar statistik angka, sebaliknya melambangkan disiplin, pengorbanan dan ketabahan luar biasa anak jati negeri di pentas global.

Sepanjang tahun lalu, atlet Perlis berjaya melakar impak di pelbagai temasya besar termasuk Sukan SEA Ke-33 dan Sukan Para ASEAN di Thailand, selain kecemerlangan dalam Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) serta Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).