Perak teruskan ‘Sistem Angkat’ hadapi SUKMA 2026

Datuk Seri Saarani Mohamad

IPOH, 29 Januari – Kerajaan Perak akan meneruskan inisiatif ‘Sistem Angkat’ yang merupakan strategi kolaborasi rentas sektor sebagai persediaan menghadapi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor, pada Ogos depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif 'Sistem Angkat' melibatkan Exco, agensi, jabatan dan persatuan sukan untuk sokongan menyeluruh kepada atlet.
  • Peneraju sokongan memantau kebajikan, sediakan kemudahan latihan dan beri sokongan moral secara terus di lapangan.
  • Pendekatan holistik dijangka melancarkan proses, kurangkan birokrasi dan percepat penyelesaian masalah menjelang SUKMA 2026.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif tersebut melibatkan sembilan Exco Kerajaan Negeri, tujuh agensi, lima jabatan serta dua persatuan sukan.

Setiap jabatan atau agensi akan bertindak sebagai peneraju sokongan bertujuan memantau kebajikan atlet, penyediaan kemudahan latihan serta sokongan moral secara langsung.

“Kita telah memulakan sistem angkat pada SUKMA Sarawak. Menariknya, tanggungjawab bukan sahaja diberikan kepada agensi-agensi, tetapi juga kepada Exco, termasuk Setiausaha Sukan (SS), Timbalan SS dan Exco kerajaan negeri.

“Mereka masing-masing turun ke lapangan untuk memberi motivasi kepada atlet yang mereka kendalikan. Inilah salah satu faktor bagaimana kita memberi semangat dan dorongan kepada atlet untuk bersaing serta memenangi pingat,” katanya.

Pendekatan holistik itu dijangka menghapuskan birokrasi dan mempercepat proses penyelesaian masalah bagi setiap pasukan menjelang SUKMA 2026.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak siri 1 2026 dan Majlis Penyampaian Watikah Ketua Kontinjen SUKMA serta Insentif Kecemerlangan Atlet Negeri Perak di Stadium Indera Muliadi sini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dilantik sebagai Ketua Kontinjen SUKMA 2026 manakala Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin sebagai Timbalan Ketua Kontinjen.

Sementara itu bekas atlet terjun kebangsaan, Datuk Leong Mun Yee turut dilantik sebagai Timbalan Ketua Kontinjen selaras hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memastikan penglibatan wanita dalam pembuat keputusan.

Majlis turut menyaksikan penyerahan rasmi aset logistik SUKMA 2026 sebagai inisiatif memastikan kebajikan atlet diutamakan di samping mempamerkan imej profesional kontinjen Perak.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan