
KUALA LUMPUR, 12 April – Penampilan barisan pemain muda dalam skuad Piala Thomas dan Uber negara tidak seharusnya sekadar pelengkap pasukan, sebaliknya perlu dianggap sebagai pelaburan strategik demi kesinambungan prestasi badminton Malaysia di pentas antarabangsa.
- Pendedahan awal pemain muda seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Ong Xin Yee-Carmen Ting membantu pematangan corak permainan dalam kejohanan bertaraf tinggi.
- Pemain muda diberi peluang perlu membuktikan kemampuan dan semangat juang, bukan sekadar pemain sparring, serta memanfaatkan untuk tingkatkan ranking dan pengalaman taktikal.
- Prestasi negara belum mencapai tahap optimum di BAC; kelemahan taktikal, kecergasan dan pengurusan tekanan mental perlu diberi perhatian serius.
- Penilaian di BAC harus dijadikan asas untuk penambahbaikan segera dan tindakan teknikal berkesan sebelum saingan Piala Thomas dan Uber.
Pemerhati sukan, Mohd Sadek Mustaffa berkata, pendedahan awal kepada pemain muda seperti beregu Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta Ong Xin Yee-Carmen Ting merupakan langkah positif untuk mematangkan corak permainan mereka dalam kejohanan bertaraf tinggi.
“Pemain muda yang diberi peluang perlu membuktikan kemampuan dan semangat juang yang tinggi.
“Mereka tidak boleh dianggap sebagai pemain sparring (rakan sepelatih) semata-mata, sebaliknya perlu memanfaatkan ruang ini untuk meningkatkan kedudukan ranking serta pengalaman taktikal,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.
Sementara itu, beliau akui pemain negara dilihat masih belum mencapai tahap optimum Kejohanan Badminton Asia (BAC) di China baru-baru ini walaupun membariskan pemain bertaraf dunia.
Menurut Mohd Sadek, kelemahan daripada aspek taktikal, tahap kecergasan, serta pengurusan tekanan mental perlu diberi perhatian serius oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjelang saingan Piala Thomas dan Uber di Denmark.
Tegasnya, penilaian prestasi di BAC wajar dijadikan asas untuk penambahbaikan segera agar setiap laporan teknikal diterjemahkan kepada tindakan berkesan sebelum saingan bermula pada penghujung April ini.