Pearly Tan tarik diri daripada Piala Uber 2026

Foto Facebook Pearly Tan

KUALA LUMPUR, 16 April – Hasrat tonggak beregu wanita negara, Pearly Tan untuk menyertai Piala Uber 2026 tidak kesampaian apabila terpaksa menarik diri susulan kecederaan belakang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pearly mengesahkan melalui media sosial dan meluahkan kekecewaan kerana terlepas peluang beraksi di pentas berpasukan berprestij.
  • Kecederaan lama kembali berulang, memaksanya berehat untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih serius dan menjejaskan kerjaya.
  • Kecederaan sama pernah hampir memaksanya berehat panjang beberapa tahun lalu, menjadikan keputusan ini satu pengorbanan besar.
  • Ketiadaannya menjejaskan kekuatan skuad dan memerlukan penyesuaian segera, namun dia optimis dan fokus pada pemulihan.

Perkembangan itu disahkan sendiri oleh Pearly menerusi perkongsian di media sosial yang meluahkan kekecewaan apabila terlepas peluang beraksi di pentas berpasukan berprestij tersebut.

Menurutnya kecederaan lama yang kembali berulang memaksanya membuat keputusan sukar untuk berehat bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius dan menjejaskan karier.

Situasi itu lebih perit apabila kecederaan sama pernah hampir memaksanya berehat panjang beberapa tahun lalu, sekali gus menjadikan keputusan kali ini sebagai satu pengorbanan besar.

“Saya tidak pernah mahu meninggalkan gelanggang. Saya akan berjuang hingga mata terakhir, tetapi kali ini badan saya memberi isyarat untuk berhenti dan saya perlu memahami,” menurut perkongsian itu.

Ketiadaan Pearly bukan sahaja menjejaskan perancangannya, malah memberi kesan kepada kekuatan skuad negara yang kini perlu melakukan penyesuaian segera menjelang kejohanan.

Bagaimanapun, Pearly kekal optimis untuk kembali lebih kuat dengan fokus penuh terhadap proses pemulihan dan mendapatkan semula tahap kecergasan terbaik.