
KUALA LUMPUR, 17 November – Perenang muda negara, Max Tang mencipta pencapaian membanggakan apabila meraih pingat gangsa pada Final Kejohanan Dunia OCEANMAN 2026 di Miches, Republik Dominika.
- Max diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang sebagai pembawa bendera kontinjen Malaysia pada kejohanan.
- Kejayaan susulan di OCEANMAN Kota Kinabalu 2026; juara 2 km, Half OCEANMAN 5 km dan lari berganti-ganti campuran 3x500m.
- Dinobat juara keseluruhan bagi kategori 2 km dan 5 km, melayakkan dirinya ke final dunia dan terus mengembangkan kerjaya renang.
Atlet berusia 16 tahun itu menamatkan saingan di tempat ketiga dalam acara pecut 2 kilometer kategori lelaki 15 hingga 19 tahun, sekali gus menaiki podium bersama dua perenang lebih berusia dari Perancis dan Mexico.
Pingat emas menjadi milik Pierre Souchon, 19, dari Perancis, manakala Emiliano Ramirez Renteria, 18, dari Mexico meraih perak.
Lebih membanggakan, Max turut diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang sebagai pembawa bendera kontinjen Malaysia pada kejohanan berkenaan.
“Saya amat berbangga kerana berpeluang menghadiahkan pingat gangsa kepada Malaysia. Persaingan sangat sengit dengan penyertaan perenang dari seluruh dunia. Saya juga amat bersyukur kerana diberi peluang mewakili negara,” katanya kepada RTM hari ini.

Kejayaan itu menyusul pencapaian cemerlang Max pada Julai lalu apabila muncul juara dalam acara pecut 2 kilometer, Half OCEANMAN 5 kilometer dan lari berganti-ganti campuran 3×500 meter pada OCEANMAN Kota Kinabalu 2026.
Malah, beliau turut dinobatkan juara keseluruhan merentas semua kategori umur bagi acara 2 kilometer dan 5 kilometer, sekali gus melayakkan diri ke final dunia di Republik Dominika.
Pingat gangsa itu menjadi satu lagi pencapaian penting buat Max yang berhasrat meneruskan perkembangan karier renangnya selain mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.